Thursday, November 4, 2010

GERIMIS DI HATI

....DAN begitulah, dalam jera lelah, saya rafakkan maha syukur kepada yang Maha Tinggi kerana walau tanpa perteduhan, alhamdulillah saya masih dapat tangani ronta jiwa lara yang basah kuyup disimbah durga sejak awal musim. Tempiasnya merajalela ke setiap penjuru langkah.

Sejurus hilang rasa pahit dan loya bahana dirembat keletihan di padang datar, saya beradu di ladang diri, meski masih menitis gerimis di hati!

Sudah dua hari saya mulakan langkah ke tempat bertugas dengan dugaan musim tengkujuh. Bayangkan, ketika orang lain sedang nyenyak di kamar, seawal jam 3.50 saya sudah turun dari rumah. Mengharungi air hujan yang berada pada paras hampir sedikit ke bawah lutut menuju ke stesen KTM Pasir Mas.
Beginilah nasib seorang pendidik seperti saya. Namun, bila pelbagai baur perasaan menerjah, cepat-cepat saya beristighfar. Saya perlu lebih kuat, kerana pelbagai dugaan telah berjaya saya rempuhi sejak berbulan sudah. Apakah dengan sedikit lagi durga, saya harus kembali longlai….
Kepahitan telah beransur hilang. Saya telan kedukaan yang menjengah meskipun masih ada sisa-sisanya terdampan di kerongkong. Dengan limpahan hikmah dan rahmat-Nya saya tidak mampu rebah untuk mengalah.

Barangkali jika tidak berada pada kondisi sekarang, saya tidak mampu untuk menjamah Rejab dan Syaaban lalu dengan beriftar pada setiap hari. Sehingga ke waktu ini pun, saya cukup tenang dengan rutinan puasa pada ‘hari-hari putih’ dengan lebih beristiqamah. Lebih membahagiakan, dahi ini dapat pula menyentuh sejadah pada setiap awal pagi sebaik bersiap siaga ke tempat bertugas. Bertahajjud dan bertaqarrub!
Namun, saya masih tidak berputus hampa, doa yang telah saya panjatkan telah bertemali. Moga ianya sedia untuk disulam atau menjahit kebahagiaan ini yang telah sedikit koyak pada musim lalu!.

Tuesday, September 7, 2010

TINTA KARYA DI PENGHUJUNG RAMADAN
1.Artikel Ihya' Ramadan - Menyempurnakan Zakat Fitrah
(Utusan Malaysia, 7 September 2010)

2. Sajak 'Ratib Perjuangan'
(Sastera Berita Harian, 4 September 2010)

3. Sajak 'Roh Ramadan'
(Harian Metro, 7 September 2010)




Friday, September 3, 2010

ADUHAI GADIS PENGEMIS

BARANGKALI sudah hampir sepuluh tahun saya tidak menggunakan perkhidmatan bas awam untuk ke mana-mana destinasi dalam negeri. Sesekali turun ke ibukota pun saya selalunya menggunakan keretapi sebagai pilihan utama. Sekiranya ada tugasan dan urusan lain di bandar Kota Bharu, jika malas memandu kereta, saya kira untuk lebih mempercepatkan urusan, saya sering bermotosikal. Dalam situasi sekarang pula, saya sememangnya terpaksa menggunakan tren Shuttle KTM pada setiap hari untuk ke tempat bertugas di ulu negeri.

Bukan berkaitan tahap khidmat pengangkutan awam yang ingin saya catatkan, tetapi tentang kerenah empat orang gadis Myanmar (agak saya) sewaktu saya menggunakan khidmat bas City Liner untuk pulang ke Pasir Mas dari stesen SKMK Tanah Merah pada Khamis minggu lepas.

Bukan saja tidak menghormati ramai penumpang yang berpuasa, empat orang gadis Myanmar tersebut sememangnya cukup ‘biadap’ dengan bulan Ramadan yang masih bersisa ini. Dua orang daripada mereka saya kira sudah berusia remaha (sekitar 16-18 tahun), dua orang lagi pula masih berusia bawah 12.

Dengan berbaju kurung dan bertudung, mereka tanpa rasa segan silu ‘meratah’ keropok ubi potato jacker tanpa mempedulikan para penumpang yang berpaling kea rah mereka yang duduk di kerusi belakang.

Bukan sahaja makan dengan lahapnya, mereka juga berborak dan ketawa dengan nada suara yang kuat. Sesekali seorang dari mereka menanggalkan tudung, menguraikan rambut yang kusut dan memakainya semula.

Saya tidak fikir keempat mereka tidak beragama Islam, memandangkan di sisi salah seorang dari mereka, terdapat satu bungkusan plastik yang mengandungi ma’thurat dan Yasin. Itulah rutin mereka ini yang dapat dilihat di Bandar-bandar utama di Kelantan. Meminta derma sambil menghulurkan salah satu dari dua buah buku kecil kepada sesiatersebut kepada sesiapa saja tanpa mengira situasi dan masa.

Sia-sia sahaja derma yang diberi. Ini kerana mereka bukan sahaja menggunakannya untuk bergerak dan merayau menaiki kenderaan awam ke sana-sini tanpa hala tuju, tetapi juga menyalaghunakan wang pemberian orang ramai tersebut dengan membeli makanan dan minuman ketika semua orang menjalani ibadat puasa.

Saya terfikir juga, adakah mereka ini datang secara berkeluarga untuk mengemis di Negara ini? Atau merekah inikah antara yang terlibat dengan sindiket yang sengaja diperah tenaga mereka untuk kesenangan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab?

Saya menyokong usaha dan langkah pihak berkuasa untuk menahan pengemis-pengemis ini. Usah dibiarkan mereka terus berlagak, sombong, tidak peka dengan situasi setempat dan menikmati keharmonian dan kemewahan yang dimiliki tanahair tercinta ini dengan sikap bodoh dan tidak beradab ini!
ARTIKEL RAMADAN 1431H


Monday, August 23, 2010

Wednesday, August 11, 2010

'GERHANA MANUSIA'

(disiarkan majalah WANITA edisi September 2010)





Thursday, August 5, 2010

MENYULAM REZEKI

Saya rafakkan maha syukur seluas lautan. Kasturi di kolam takdir semerbak mewangikan kamar hidup seusia ini.

Atas segala sifat kesempurnaan ar-razzaq-nya, saya terus dikurniakan rezeki berganda. Awal Julai lalu, saya dipilih memenangi salah satu hadiah dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) Exxon Mobil 2009 untuk karya cerpen ‘Khilaf’.

Semalam, alhamdulillah, rezeki-Nya masih milik saya. Saya ke pentas APC (Anugerah Perkhidmatan Cemerlang) buat kali keduanya, sejak memikul amanah berat dalam dunia perguruan ini.


Terima kasih kepada semua rakan, staf pentadbir dan seluruh mantan anak-anak didik terkasih di SK SIE atas anugerah ini. Tak lupa kepada pengurusan PIBG (terutama Pn Noor Fariza) yang selama ini banyak menyokong tugasan saya sebagai Setiausaha selama lebih empat tahun.

Biarpun masih sebak dengan kejauhan ini, Segalanya seolah-olah disulam terka dengan benang tamakninah yang paling puncak. Dialah Khaliq yang Khalid. Tidak pernah terjangkau oleh makrifat kita atas segala punca musibah, rezeki dan dugaan untuk kita muhasabah dengan nubari sendiri.

Segalanya membuatkan tafakur saya menjadi bertemali, memikir-mikir tentang inayah dan kurnia, bukan medium bujukan lagi. Namun, seperti yang telah termaktub di perdu tatkala iklim diri yang sedikit berubah kini – demikianlah benarnya janji-Nya yang haqnya adalah pasti!

Thursday, July 29, 2010

NARWASTU SYAABAN

MELIMPAH syukur sebaik nafas dapat dihembus setiap awal pagi. Menanti hadirnya serakan sinar mentari, usai bersuci, lazimnya saya hanya bersahurkan segelas milo kosong dengan beberapa biji tamar. Tekak tidak begitu berselera untuk menjamah makanan lain, mungkin kerana waktu sahur yang terlalu muda (sekitar jam 3.40-3.50 pagi). Hari ini sudah masuk hari ke-19 puasa sunat Syaaban saya raikan bersama keluarga.


Jam 4.00 pagi saya sudah tercegat di stesen KTM, 15 minit kemudian menaiki tren shuttle ke tempat bertugas di hulu negeri. Alhamdulillah, barangkali satu lagi hikmah-Nya saya ‘dilempar’ jauh ke daerah ini. Rasa penat berpuasa meskipun jauh berulang alik dengan tren dan motosikal setiap hari seperti tiada langsung. Nurani dapat merasakan, saya lebih beristiqamah melakukan ibadat sunat tersebut berbanding sebelum ini.

Sudah beberapa kali saya beriftar di dalam koc kerana terpaksa menaiki tren kedua yang dua jam lewat atas tuntutan tugas hingga lewat petang.

Namun, saya tidak merasa sedikit pun rasa rimas, bahkan lebih tenang walaupun sentiasa hidup dikejar dan mengejar masa.

Barangkali, Inilah Narwastu Syaaban yang belum pernah menyerbak ke indera saya sejak sekian lama. Benarlah, kata teman-teman, Tuhan tidak pernah berhenti menyiram hikmah dan rahmat-Nya walaupun pada masa yang sama kita diduga dengan hempedu ujian yang begitu pahit untuk ditelan!

Sunday, July 11, 2010


PENGHARGAAN HSKU YANG MELANGIT

Hari ini saya (10 Julai 2010) berlabuh di Ibu Kota buat beberapa ketika. Berbaur antara rasa teruja dan bangga. Alhamdulillah, kali ini giliran saya menjejak langkah ke pentas HSKU 2009. Tidak seperti judul cerpen saya yang terpilih, buat detik ini saya tiada kekhilafan untuk memilih arah meniti sisa-sisa usia yang dianugerah.


Pentas Panggung Sari Istana Budaya telah memartabatkan buah pena saya ini. Terima kasih panel yang memilih, terima kasih Ku Seman (editor MM yang baik), terima kasih penaja anugerah, terima kasih Kumpulan Utusan!



‘Khilaf’ terlalu istimewa buat saya. Ia adalah rakaman catatan sahabat baik yang benar-benar berada dalam situasi ‘khilaf’ itu sewaktu pengajiannya. Dengan sedikit olahan maka saya hasilkan khilaf, dedikasi buat sahabat saya itu yang pernah terkhilaf jalan hidupnya dan pastinya tidak lagi kini.

Terima kasih atas ucapan tahniah melalui sms, emel, talian dan di facebook dari seluruh mantan anak murid, mantan teman-teman sejawat, rakan penulis dan rakan taulan yang begitu prihatin. Moga-moga ianya membenih doa untuk kejayaan masa-masa mendatang.

Moga tiada yang terkhilaf dengan saya!
MENGEJAR DAN DIKEJAR MASA

Sudah beberapa minggu blog ini tidak berisi entri baru. Kalau hari bekerja, saya bagaikan lipas kudung. Berpagi sejak jam 3.15. Berada dalam tren hampir 6 jam sehari untuk pergi dan balik ke tempat bertugas. Penat, hanya Dia yang tahu. Penat fizikal mungkin tidaklah begitu terasa, yang lelah sudah pasti minda dan jiwa.

Tak mengapalah. Segala-galanya sudah saya pasrahkan atas landasan takdir dan suratan. Saya sudah akur. Biarlah detik masa yang menentukan segala-galanya. Saya sudah melangsaikan tugasan sebagaimana jadual yang diberi.

Keterkilanan kini bukan lagi kerana dipaksa dan terpaksa menerima kejauhan ini, tetapi hanya sedikit minimumnya masa untuk keluarga, berpena dan menjahit ukhwah di lama FB yang menghimpunkan begitu ramai mantan anak murid dan teman-teman yang telah lama hilang di mata!

Sehinggalah saya menerima sms kemenangan saya di Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) Exxonmobil pun terabai beberapa ketika. Seorang teman di ibukota meyakini saya akan kemenangan itu biarpun saya tidak pernah menaruh harapan. Melihat senarai akhir di akhbar saya semakin goyah rasa yakin, ramai lagi penulis besar yang layak naik ke pentas berprestij itu. Syukurlah, ini rezeki kedua saya di HSKU!


Tuesday, June 22, 2010

Thursday, June 10, 2010

DUA ARTIKEL DAN SIDE INCOME

Berikut dua buah lagi artikel yang saya tulis 2 hari lepas. Hari ini dipilih oleh editor untuk disiarkan dalam media mereka. Artikel pertama disiarkan akhbar tabloid SIASAH dan artikel kedua disiarkan ruangan pendapat UTUSAN MALAYSIA.

Motivasi teman-teman yang menjenguk blog ini, tak rugi kalau kita curah idea untuk dikongsi bersama dalam media cetak. Selain meluahkan apa saja yang terbuku dalam dada, tak kiralah samada ianya berbentuk saranan, kritikan atau komentar pro dan kontra, asalkan ianya boleh dibaca oleh seleuruh khalayak.

Di samping itu, yang pasti kita boleh menjamah hasilnya atas idea yang diperah.
Saya menulis 2-3 artikel seminggu. Setiap artikel lazimnya dibayar RM110-RM150 (akhbar arus perdana) dan RM50-RM70 (akhbar tabliod). Jadi, itulah side income namanya. Dalam sebulan dapatlah dalam RM500-RM700 sebulan. Sapa nak bagi kita banyak tu!!. Jadi, apa tunggu lagi, jom kita menulis....

Saturday, June 5, 2010

MENELAN TAKDIR

WALAU dalam berat hati yang teramat, saya gagahkan juga tekad dan kesabaran untuk menempuh apa jua takdir dan suratan. Jerit perih yang menggugah jiwa raga yang telah berusia lebih 50 hari, saya simpan di perdu nubari. Biar ianya diam dan bungkam di situ.

Dalam fikiran yang berbelah bahagi, saya terima jua lamaran dari pihak atasan untuk hadir ke Gem Beach Resort, Mengabang Lekar, dan seterusnya menerima lantikkan sebagai hakim dalam satu acara Majlis Tadarus Al-Quran (MTQ), Bercerita Kisah dari Al-Quran dan Syarahan Agama Peringkat Kebangsaan Kali ke-36 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berlangsung hampir seminggu.

Ikutkan rajuk di kalbu, saya boleh memberi sejuta alasan untuk menolaknya. Namun, siapalah saya untuk untuk menongkah arus memporak-perandakan jati diri sendiri!

Saya memandu ke Negeri Penyu Bertelur itu dalam bauran perasaan yang menerpa benak.

“Anta jangan bimbang, ada hikmah dan rahmat tu..!” ujar teman sebilik saya, Ustaz Ismail sebaik saya bercerita tentang keperitan yang telah saya redah sejak berpindah ke daerah baru.

Begitu ramai teman-teman yang mendoakan begitu. Sebagai hamba-Nya saya kini telah 99 peratus redha, akur dan pasrah dengan ketentuan yang telah saya teguk segala kepahitannya.

Jiwa saya agak lapang setelah ramai teman-teman hakim yang datang dari pelusuk Semenanjung tidak putus-putus mendoa dan menyuntik iltizam agar saya terus tabah meneruskan sisa-sisa tugas yang berbaki dengan membuang segala rencah perasaan yang boleh menoda ketekunan diri.

Terima kasih teman-teman kontinjen Cik Siti Wan Kembang – Ustaz Rasidi, Rozaini, Noraida dan Kak Zamriza yang sentiasa bulat menyokong saya.

Begitu juga teman-teman semeja di meja pertandingan Bercerita Kisah dari Al-Quran- Kak Yati (Ketua Hakim) dari Bahagian Pendidikan Islam, Ustaz Azman (Selangor), Ustaz Bukhari (Pahang), Kak Ruzimah (Johor), kak Hendon (Melaka) dan Kak Die (Perak) yang telah membina ukhwah di meja muzakarah dan dewan Mahyudin. Moga akan diberi kesempatan untuk kita ketemu lagi!






Friday, June 4, 2010

SAJAK PENGHIAS JAMADIL AT-THANI 1. Sajak SUBUH INI
- disiarkan HARAKAH edisi 14-18 Jamadil Akhir
2. Sajak KEMAAFAN
-disiarkan TUNAS CIPTA edisi Jun 2010

Wednesday, May 19, 2010

Sunday, May 16, 2010

INGATAN BUAT CIKGU

SAYA abadi dan dedikasikan sajak yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia hari ini kepada seluruh mantan murabbi, muaddib dan dai’e yang telah mencurahkan ilmu kepada saya sedari kecil.

Pohon keberkatan darinya agar segala ilmu mereka kepada saya dihalalkan dan diperkenan.
Salam ingatan penuh nostalgia buat semua mantan guru SK Tok Che Dol, Tanah Merah (sesi 1979-1984), Semua mantan guru di Maahad Ahmadi Tanah Merah (sesi 1985-1991), Semua mantan Pensyarah di Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Kuantan (Kini IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis) ambilan 1994/96 dan semua mantan Pensyarah di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM, bangi (Sesi 1998-2004).

Terima kasih Cikgu!


Friday, May 14, 2010

BAK MUTIARA, BAGAIKAN PERMATA
JUMAAT dan Sabtu minggu ini adalah cuti hujung minggu ketiga saya raikan sejak bergelar pengembara da’ie.

Untuk tempoh 48 jam ini, detik yang berdetak saya rasakan nilainya lebih mahal dari mutiara, lebih berharga berbanding permata, bahkan melebihi apa jua martabat selain kedua-duanya.

Tempoh beradu ini selain untuk ‘melendikkan’ kembali urat saraf yang kejang di segenap indera, ianya juga adalah kurnia masa yang cukup bermakna untuk saya bermuhasabah dan mengkoreksi sahsiah sendiri…


Tuesday, May 11, 2010

CETUSAN SAJAK MEI
Dua buah sajak yang sempat saya hasilkan sejak awal Mei lalu, walau dalam dalam sedikit kesempitan masa yang mendesak.

i. Sajak 'Bicara buat Umi' (Harian Metro edisi Selasa).
ii.Sajak ' Antara Waktu Maghrib dan Isya' (Majalah SOLUSI edisi 19 2010)





Thursday, May 6, 2010

KIJANG YANG LELAH

Suara nyaringnya tidak lagi gah bergema
Ketika temulang kudratnya bergetar di tengah rimba
Dia tidak lagi mampu menobat takhta
Mengorak telapak di tanah menghijau

Saat itu
Sebak menyentap dahan kalbunya
Dedaun resah mula berguguran
Pepohon batin akhirnya tumbang
Akarnya menguncup di perdu harap

Hari ini
Dia cuba bangkit dengan kekuatan kaki
Menghambat waktu yang bersisa
Walau dalam jera lelah
Seakan dibelenggu setiap inci jiwaraga

Bimbang tersadung akar dan jerat
Sang kijang lebih berhati-hati menapak
Meski dalam peribadi yang keruh
Diredah belantara yang mula teduh

Nun jauh di lembah nuraninya
Dia tetap menjinjing tekad dan tabah
Perlu mengorak dengan lebih berhemah
Dan berakal
menyusun gerak dan langkah


Kemubu-Kuala Gris, 6 Mei 2010

Friday, April 23, 2010

Tuesday, April 20, 2010

MENJAJA KELUH KESAH

LEBIH seminggu saya beruzlah dan membiarkan laman blog ini tidak diisi apa-apa posting.

Begitulah seadanya, ada waktunya kita langsung tidak boleh menerka saat-saat diri disergap sesuatu yang tidak pernah seketip kuku pun akan menerawang di layar kontak mata atau akan tumbuh di perdu benak fikir.

Setelah puas menjaja keluh kesah, yang hanya dibalasi dengan sedikit respon yang adakalanya menghibakan, saya terpaksa juga mendepani realiti. Sahsiah sudah pedih dibirat nestapa.

Menjunjung pepatah, bagaikan menunggu bulan agar jatuhnya di ribaan, begitulah dambaan yang memutik, ranum seketika sebelum manis hanya beberapa saat sempat singgah di lidah, terbiar lalu dibuang!.

Belum ‘menikmati’ uzlah baru pada hari-hari mendatang. Sukar untuk menukangi jerit perih merempuh waktu dan situasi pada sedikit kelansungan hidup selepas ini. Doa segera saya pacakkan di pergunungan harap; Rabb, jiruskan kekuatan pada pepohon diri yang sering goyah ini.

Ada keajaiban? Saya cuba melentur hati dan jiwaraga agar tidak terlalu menyulam harapan!

Friday, April 9, 2010

Thursday, April 8, 2010

MUHASABAH DALAM TALIAN

SEORANG teman semaktab saya yang telah hampir 10 tahun bertugas di utara tanahair baru-baru ini menelefon saya. Tidak pula saya usuli dari mana dia mendapatkan nombor telefon saya, memandangkan selepas ditempatkan mengajar, saya memang terputus hubungan dengan dia. Walaupun berlainan kursus, tapi kami akrab di asrama.

“Awak ada tak rasa bersalah dalam diri macam saya?” Tanya teman saya setelah hampir 10 minit kami bertanya khabar.

“Rasa bersalah pasal apa?” tukas saya.

“Berkaitan dengan tugas kita di sekolah. Mengajar dan membimbing bukan main lagi, tapi kes buang bayi, pecah rumah dan macam-macam kes jenayah makin bertambah tiap-tiap hari…” Sambung teman saya memulakan topik

“Din, kita berapa jam aje dengan dia orang tu. Tugas kita hanya sebahagian daripada tanggungjawab mak bapak dan diri mereka sendiri!”

“Agaknya kita asyik tekankan akademik aje dalam kelas, moral dan sahsiah kita banyak alpa.” Nada teman saya mula berbaur keluhan.

“ Masing-masing dah ada peranan sebenarnya. Setakat manalah kita dan ibubapa nak kawal pergerakkan mereka. Macam penyakit yang hingga kat badan kitalah juga, kalau antibody kita kuat, virus takkan suka bertapak..” Saya lebih suka berkias.

“Betullah kata awak tu. Kita tak tahan uji. Iman mudah pecah dengan banyak ancaman di luar sana..” kata teman saya mengiyakan.

“Orang lain biarlah, tapi awak kena ikut apa yang dah saya amalkan!” getus saya.

“Macam nak kongsi petua je.”

“Tak adalah petua, ni pesan para ulama kita. Kita dah langsaikan tugas kita hari-hari kat sekolah. Apakata sebelah malam, lepas solat Isyak ke, solat tahajjud dan Hajat ke kita panjatkan doa-doa panjang-panjang, moga-moga semua anak murid di sekolah dapat terima semua yang diajar dengan elok, terjaga akhlak mereka sepanjang masa dan cemerlang dalam kerjaya mereka nanti!” ujar saya bertazkirah panjang.

Sebaik talian diputuskan, kami sudah berpadu iltizam untuk terus beristiqamah melaksanakan tugas hakiki dengan lebih dedikasi, ditambah dengan pacakkan doa, mohon berkat Ilahi!

Wednesday, April 7, 2010

Terima Kasih TC,
Terima Kasih MPR,
Terima Kasih DBP!





Buah Pena Alumni MPR, TUNAS CIPTA - April 2010.

Tuesday, March 30, 2010


MASA

Masa merenggut usia
Menyentak sedar

Masa memamah kudrat
Meniti hakikat

Masa membilang hari
Mengutip memori

Masa menggubah ingatan
Mengait kerinduan

Masa menggali muhasabah
Di sumur tazkiyah!


Monday, March 29, 2010


Disiarkan akhbar mingguan SIASAH, edisi Ahad, 28 Mac 2010.

Friday, March 26, 2010



KEMATIAN
(Belasungkawa buat Datuk Zainal Abidin Ahmad, MP Hulu Selangor yang telah kembali ke rahmatullah)

Bulan
Cahayanya masih pucat
Mentari
Sinarnya masih pudar
Dalam sepoi angin
Dedaun tetap berjatuhan

Setitis embun dingin
Menitis
Di kelopak nurani
Membasah pilu!

Saturday, March 20, 2010

Wednesday, March 17, 2010

BAHASA SEPI

INILAH sajak ketiga saya yang dipilih oleh pengelola sudut sajak Harian Metro edisi Selasa.

Sebagai manusia, kita adalah hayawan an-natiq. Boleh melihat, berfikir, bermuhasabah diri dan lazimnya mampu meluahkan sesuatu untuk berbicara dengan alam dan segala isinya.

Bagaikan kesinambungan dengan sajak Nur Hijrah (buah tangan saya dalam DS), mutakhir ini saya sering berbahasa sepi. Gelodak dan sedikit onar dalam nubari memaksa saya menjadi manusia bisu!.

Bisu dengan lisan menjadi keras kaku tatkala dihadapkan dengan realiti yang sedang membengkak dan membusung di akar hati. Bahasa sepi bernada pujuk rayu, sebak hiba, sumpah seranah dan pelbagai keluh kesah sedang beralun di segenap pelusuk nurani. Cabaran atau dugaan apakah ini?

Apa jua, saya tetap kembali pada-Nya. Setiap detik, saat jantung masih berdegup, saya puncakkan segala pengharapan pada Rabbul Jalil. Doa saya pacak di pergunungan durga, tenanglah hati, tabahlah jiwa. Terka apa yang terawang di fantasi dengan bisik suci fitrah insani, agar seluruh jasad diri terus tegak dan masih mampu untuk menapak!

Saturday, March 6, 2010

NUR HIJRAH

Sajak ‘Nur Hijrah’ terpilih antara 10 buah puisi pilihan editor DEWAN SASTERA edisi Mac 2010.

Ianya muncul ketika Rabiulawwal hampir senisfu usia. Menghimbau sirah hijrah junjungan, cukup menyebakhibakan nurani saya, beradunbaur perasaan ini tatkala bait-bait puisi itu dicatat pada lembar pena. Payah dan getir menelusuri ranjau penghijrahan bagai bersebati dalam diri kita – umat mutaakkhirin ini. Pedih luka yang bermehnah bagai belati menikam nubari.

Entah kenapa, puisi yang saya kirim pada Disember 2009 itu begitu menguja diri saya mutakhir ini. Barangkali saya benar-benar sudah hampir tiba di simpang berpenjuru. Persimpangan yang bakal menghijrahkan saya untuk cuba bertatih – biarpun tikungan hidup yang bakal dilalui berada di luar kondisi dan norma untuk memaknai sebuah kelaziman.

Doa saya pacakkan, sebelum diseru untuk hijrah akbar, saya berintih memohon tenang, andainya benar-benar saya dipilih untuk merasai apa yang tersurat!.

Sunday, February 28, 2010

Disiarkan MINGGUAN MALAYSIA, 28 Februari 2010.

Wednesday, February 24, 2010

Wednesday, February 17, 2010

KECEWA SAYA BERSERAKAN DI MANA-MANA!

TIDAK pernah berlaku. Sudah puluhan tahun, aktiviti dakwah yang membabitkan Majlis Tilawah, Tahfiz dan Bercerita Kisah dari al-Quran (MTQ) dan Festival Nasyid di peringkat Kementerian Pelajaran meranum syiar di serata pelusuk samada di peringkat Zon, Daerah, Negeri dan kebangsaan. Tidak pernah sekalipun acara tahunan itu dihentikan atau ditangguhkan, seingat saya sejak saya berada di Tahun Satu lagi.

Saya sendiri dizahirkan bakat melalui majlis Tilawah Quran ketika di Tahun 5, walaupun kemudiannya bertukar sisi dalam sudut bahas ketika berada di peringkat menengah atas. Pernah menggondol Naib Johan Tilawah Quran peringkat Daerah dan Pembahas Terbaik peringkat Sekolah-Sekolah Agama Kelantan 1991.

Namun, rasa kecewa dan hampa saya berserakan, malah bertaburan di merata kondisi sebaik mendapat perkhabaran bahawa MTQ dan Festival Nasyid yang sekian lama memeriahkan syiar dakwah untuk akitiviti Pendidikan Islam dibatalkan pada tahun 2010 ini. Dengan pengecilan bajet untuk kegiatan murni tersebut, sumber kewangan bagi kedua-dua acara hanya cukup untuk peringkat Kebangsaan sahaja. Ini bermakna tidak ada lagi pertandingan untuk kedua-duanya di peringkat Zon, Daerah dan Negeri sebagaimana puluhan tahun sebelum ini.

Selain untuk memartabatkan kalamullah dan memuncakkan kesenian Islam itu sendiri, MTQ dan FN sebetulnya menjadi medan seluruh Guru Pendidikan Islam (GPI) dan sebahagian Guru Muzik di sekolah-sekolah menengah dan rendah untuk menggiatkan bakat seni dan berusaha meningkatkan tahap penguasaan dan ilmu Al-Quran dari masa ke semasa.

Saya sendiri, bermula November 2009 lagi telah menyediakan slot khas ala-ala akademi nasyid yang dibuka kepada semua murid Tahun 4 dan 5 dengan tujuan mencari pelapis bagi menggantikan Kumpulan Nasyid TILMIZ yang dibubarkan setiap tahun kerana anggotanya terdiri dari kalangan murid Tahun 6 yang akan melangkah ke sekolah menengah.

Setelah lahirnya anggota baru, saya bersama rakan guru di sebuah sekolah agama di Pasir Mas mula giat berlatih bersama. Rakan saya itu menggubah irama, manakala saya menyiapkan liriknya. Kami telah beberapa kali mengandakan latihan bersama.

Begitu juga dengan persediaan murid untuk bercerita dan hafaz Al-Quran. Telah saya siapkan mereka teks cerita dan juga senarai penuh ayat-ayat dan surah yang perlu dihafal.

Akhirnya, saya redha. Akur dengan realiti yang harus ditelan bermula tahun ini. Walaupun pada masa yang sama seluruh sahabat di peringkat BPI, SPI, Unit PI di PPD serta seluruh warga GPI di seantero Malaya sedikit terkilan dan pedih ulu hati dengan apa yang telah tersurat!!

Sunday, February 7, 2010


MINGGUAN MALAYSIA, Ahad, 7 Februari 2010

SETELAH menerima respon yang agak memberangsangkan dari teman-teman yang sudi berziarah usai saya paparkan sajak di kamar blog ini, saya kirimkan semula sajak ini kepada editor sastera Utusan lewat senja Jumaat lalu.

Barangkali ada sesuatu yang mencuit indera dan kalbu Sdr Ku Seman, maka ‘Merafak Cinta’ dipilih untuk disiarkan di laman sastera Mingguan Malaysia hari ini. Lebih meriah, dapat saya berkongsi pengertian dengan seluruh teman khalayak pembaca MM budiman pula.

Tuesday, February 2, 2010

Disiarkan PELITA BAHASA - Edisi Februari 2010


Disiarkan akhbar HARIAN METRO, 2 Februari 2010, Selasa.