Thursday, December 17, 2009




MERAUT RINDU MPR 1988

BIARPUN telah lebih 22 tahun berlalu, nostalgia manis mengikuti Minggu Remaja (kemudiannya dikenali sebagai Minggu Penulis Remaja) masih bugar di perdu ingatan.

Shaidah (Shasha) dan Ainol Amriz telah lama bergelar wartawan di Berita Harian dan Utusan. Saya, Hameer Habid dan Nik Khatijah (Haija Die) kini kami berstatus pendidik. Jamaludin, Harman Sham, Khairul Anuar, Fauziah Yunus,Syed Agil, Narizah Samat (adik kepada Talib Samat), Tan Bok Hoi dan Zaireena Onn – di mana agaknya kalian??

Indahnya saat berkongsi rasa itu kian menghimbau apabila menatap Dewan Sastera edisi Disember yang membawa tema Minggu Penulis Remaja, membina penulis pelapis. Terima kasih dan tahniah buat sdr Rozninah (editor DS) yang prihatin dengan membuka ruang kepada khalayak bagi melihat dan merenung tahap perkembangan dan keperkasaan sastera remaja khususnya keberhasilan yang dinatijahkan sebuah ’institut’ MPR yang kini memasuki usia 24 tahun!

Tidak semewah MPR pada edisi kini yang berbumbungkan penginapan ternama, generasi kami ketika itu hanya berulang alik dari Wisma Belia ke Balai Budaya DBP selama seminggu bagi mengisi pelbagai slot program yang diatur penganjur.

Di era kami, dua buah antologi menjadi buah tangan yang cukup bermakna sebagai hadiah dari pihak DBP iaitu antologi cerpen Permata Nilam Biru dan Salji Masih Berguguran, selain antologi sulung pemenang Hadiah Sastera Dewan Siswa-Bank Rakyat iaitu Lalu Kulepaskan Resah Sepi.

Dalam usia 16 tahun, Saya di antara 30 orang remaja yang telah dipilih DBP bagi menyertai MPR edisi ke-4 pada tahun tersebut. MPR telah melahirkan nama-nama besar seperti Hizairi Othman, Faisal Tehrani, Shamsudin Othman, Mawar Shafie, Salina Ibrahim, Nisah Haron, Rahimidin Zahari, Mawar Shafie, Maharam Mamat dan Siti Jasmina Ibrahim (sekadar menyebut beberapa nama).

Agak membanggakan, apabila beberapa tahun kemudian atas inisatif orang mantan peserta MPR 1985 dan 1986 Kelab Alumni MPR telah berjaya ditubuhkan. Saya sendiri telah berkesempatan menyertai aktiviti kelab pada tahun 2000 atas jemputan sdr Hizairi Othman (masih hilang penuh misteri) yang merupakan Pengerusi Kelab mantan MPR ketika itu. Saya dipilih sebagai panelis untuk slot ‘Bual Bicara bersama Mantan MPR’ yang turut disertai Zarihah Hassan dan Maharam Mamat dengan moderatornya sdr Salina Ibrahim (kini Editor Perunding di Karangkraf)

Sesungguhnya pertemuan Kelab Alumni Sabtu ini – 19 Disember 2009 amat mengesan jiwa. Malangnya, atas komitmen profesion kini, saya cukup terkilan kerana sekali lagi tidak dapat menghadirkan diri, walaupun kocakkan rindu dalam dada bergempa di mana-mana.

Selamat bertemu menjahit akrab, selamat bersilaturrahim mengait berkat!!

Tuesday, December 15, 2009

Tuesday, December 8, 2009

BUAL BICARA PAGI SELASA

Sepanjang pemanduan mengawas SPM di SMKBP pagi tadi, indera saya agak asyik mendengar bual bicara pagi antara pendengar dengan dj Mastura di IKIM.fm. Isunya sudah pasti berkisahkan kemalangan ngeri yang mengorbankan dua nyawa di KB Mall semalam.

Hampir separuh pendengar menyalahkan pihak pengurusan KB Mall (sebenarnya ditujukan pada kerajaan negeri) yang gagal menyediakan suatu tembok penghadang yang kukuh terutamanya di kawalan letak kereta bertingkat di bangunan tinggi.

Hanya seorang yang pemanggil yang memberi ulasan kontra. Kata pemanggil tersebut, kenapa nak disalahkan pihak pengurusan KB Mall, Penyelia Keselamatan atau Jurutera yang meluluskan struktur binaan bangunan?? Kenapa tidak diletakkan kesalahan kepada dua orang wanita dan seorang pemuda yang ternyata cuai dengan tindak-tanduk mereka sendiri!

Sewaktu di kantin usai mengawas kertas Fizik 1, bual bicara tentang hal tersebut masih berlanjutan.

“Saja Tuhan nak beri peringatan pada muda-mudi kita sekarang ni agaknya!” Komen Cikgu Zul, Ketua Pengawas tempat saya bertugas.

“Kenapa pula?” Soal saya.

“Tubit denga gewe musim-musim peghiksa ni. Buka aurat, ghambut meghoh nyala. Bawa adik, nak cover la tu…” Sampuk teman sejawat saya yang sejak tadi cukup berselera menyuap nasi ke mulut.

Ketawa kami berenam berderai…

Petang semalam, sewaktu di kampong, seorang sahabat ayahanda saya yang kebetulan berkunjung atas satu urusan mengomel panjang bila dia dengar ulasan YB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar yang menyifatkan kejadian yang berlaku adalah takdir Allah walaupun struktur bangunan yang direka jurutera tidak pernah membayangkan kejadian seperti itu boleh berlaku.

“Tu ajalah boleh komen Nik Aziz ni. Kehendak Allah, takdir Tuhan!, bukannya nak ngaku kesilapan…”

“Kesilapan apa pakcik?” Tanya saya.

“Silap buat bangunanlah tu. Negeri lain banyak pasaraya, tak ada pulak berlaku macam ni!” sinis sahabat ayahanda saya itu lagi.

“Habis, apa lagi kalau bukan takdir, kehendak Dia. Ada pihak KB Mall minta semua tu berlaku. Takkan pasal tembok konkrit yang tidak dicucuk besi besar dan keras dalamnya, maka Menteri Besar dan Kerajaan Negeri yang salah?” Hujjah saya.

Dia memang bukan proksi kerajaan negeri. Sah orang UBN la ni…
Lewat tengahari tadi, adik kepada pemandu yang cedera dan teman lelaki gadis tersebut telah pun di tahan polis untuk siasatan lanjut.

Saturday, December 5, 2009



SAJAK BUAT TANAHAIR

Nafas jihadmu tetap panas
Sewaktu tanah milikmu dicakar durjana
Namun kau masih sempat
Mengikir mata akal:
Sebilah belati
Peluru tetap kau asah
Bangkit dengan semangat mata batin
Selamanya
.
-Disiarkan dalam sudut SASTERA BERITA HARIAN, Sabtu Disember 5 2009.

Friday, December 4, 2009


Telusuri artikel saya ini dalam UTUSAN MALAYSIA Hari Ini...

Thursday, December 3, 2009

DI PANTAI INI
(Mengenang tragedi Tsunami, Disember 2004)

Ada insan mengais-ngais ombak kesal
di persisiran pantai hidup

Merempuh ombak insaf
Membadai dosa!