Friday, September 9, 2011

MENGGANTUNG HARAP

* Serasa segar dingin bagai air di terjunan, saya kembali berentri di laman blog yang agak usang ini.

Bagai mencatur masa depan dalam skop profesion diri, sekali lagi saya puncakkan harapan untuk kembali bertugas di daerah bermukim. Sukar menerka, samada percaturan kali ini merimbun teduhan rezeki atau masih dipercik ruam dan haba yang hangat.

Sudah cukup dijera rasanya, berkemelut dengan situasi diri sebegini. Walau perit, saya telah gaulkan segala rencah rasa tersebut yang sudah pun bersebati di dalam acuan nurani. Temali redha, pasrah dan istiqamah telah saya ikat kemas-kemas di pinggang iltizam. Saya telan takdir walaupun pahit merembes kerongkong, jua, saya memamah nestapa biar berkerikil di mulut jiwa raga…..

Sambil menanti pertimbangan dilakukan, saya akan cuba menghabiskan sisa-sisa kepayahan di ulu negeri ini dengan saki baki kekuatan yang ada. Demi anak-anak didik, saya telah lama belajar melupai rasa gundah dan amarah yang telah bersilih purnama membengkak dan membusung di kalbu dukalara.



Sajak terkini nukilan saya yang disiarkan Harian Metro edisi selasa, 6 September 2011.

Wednesday, May 25, 2011




KEMBALI BERENTRI

SUDAH agak lama blog ini tidak dientri sebarangan anekdot. Dalam situasi dikejar dan mengejar masa, sedikit catatan kecil selalunya saya paparkan pada MUKA BUKU sahaja.

Namun, apabila melihat sajak terkini saya disiarkan sebuah akhbar bertulisan jawi (sisipan sebuah media harian), dalam rasa teruja ingin saya memorikan sajak khas Hari Guru bertulisan jawi ini di kamar blog kesayangan saya ini.

Biarpun menulis dan membaca jawi sudah menjadi rutinan tugasan saya seharian, namun sesekali karya muncul bertulisan jawi ini, saya merasakan betapa tulisan warisan berzaman ini perlu sentiasa diangkasakan serta dimartabatkan tanpa mengira situasi dimensi.

Friday, April 29, 2011

SUMPAH, JANGAN SAMPAI KITA DILAKNAT ALLAH

Bekas Imam Masjid Saidina Omar Al Khattab, Bukit Damansara, Ustaz Shamsul Firdaus Alhafiz berkata, sumpah laknat yang dilakukan Trio Datuk T, tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar.

Beliau merujuk tindakan salah seorang individu terbabit, Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang dikatakan mahu mengangkat sumpah laknat di Masjid Amru Al-As di Sentul selepas solat Jumaat

“Sumpah untuk nak buktikan tuduhan zina cuma boleh dilakukan terhadap isteri sahaja. Itu dipanggil sebagai sumpah Li’an. Itu dinyatakan dalam Al Quran Surah An Nur ayat ke 6 hingga ke 10, ” ujarnya kepada Keadilandaily.
“Sumpah li’an ini pula adalah sumpah saling rela dilaknat, ia tak ‘laku’ kalau hanya sebelah pihak sahaja. Kedua, ia tidak ‘laku’ kalau tidak membabitkan suami dan isteri,

“Sumpah yang dilakukan Datuk T ini tidak terpakai dan tak boleh pakai,” tegas beliau.

Katanya, sumpah mubahalah seperti yang diperkatakan ramai orang pula, hanya melibatkan persoalan akidah dan tidak ada kaitan dengan hukum syarak.

“Sumpah Mubahalah cuma nak menyatakan dalam soal perdebatan akidah dan ia tidak menyangkut paut dengan hukum syarak. Ia berkenaan akidah sahaja. Misalnya perdebatan antara ahli kitab dan orang Islam, dalam tuduhan seks tidak ada sumpah muhabalah.

Justeru, katanya, tindakan Datuk T yang terdiri daripada Shazryl Eskay, Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, dan bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim itu tidak diterima dalam kaedah perundangan Islam.

Dalam kes fitnah membabitkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, Shamsul berkata, di dalam Islam, ia perlu mengikut saluran yang ditetapkan hukum syarak.


“Dia (Datuk T) kena ikut proses, sebab itu perlu membawa empat saksi. Kriteria saksi ini mesti lah memenuhi syarat seperti adil, tidak fasik dan tidak buat dosa-dosa besar,” jelas beliau.

Ketika ditanya mengenai hukum daripada tindakan individu berkenaan, Shamsul berkata sumpah yang dilakukan itu tidak memberi sebarang kesan kepada yang dituduh mahupun yang menuduh.

“Ia tidak boleh dijadikan asas sebagai penerimaan bukti samada betul atau tidak,” tambahnya.

Sementara itu, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Ustaz Dr Badrul Amin Bahron pula mengingatkan umat Islam supaya jangan sewenangnya mempermainkan agama dengan merujuk tindakan individu berkenaan.

“Jangan sampai kita semua dilaknat Allah! Siapa ajar sumpah-sumpah ini? Agama apa? Kenapa di masjid? Sumpah bukan ajaran Islam, ikut Islam sebat saja mereka ini,” katanya sambil menyeru umat Islam merujuk surah An-Nur ayat 4.

Friday, April 22, 2011

KALAM JAMAIE SK TENGKU BARIAH - JOHAN KEBANGSAAN 2010

Sunday, March 20, 2011

12 PUNCA KEROSAKKAN OTAK

1. Mengabaikan pengambilan sarapan pagi
Individu yg sering mengabaikan pengambilan sarapan pagi berisiko besar mengalami kekurangan gula dalam darah. Ini akan menyebabkan bekalan nutrien tidak cukup untuk dihantar ke otak dan akan menyebabkan bahagian tersebut mengalami kemerosotan.

2. Terlalu banyak makan
Menyebabkan berlakunya pengerasan di bahagian arteri otak lalu memperlahankan kuasa mental.

3. Merokok
Menyumbang kepada pengecutan otak dan penyebab kepada penyakit Alzheimer.

4. Pengambilan gula yang tinggi
Pengambilan gula yang berlebihan akan mengganggu penyerapan protein dan nutrien seterusnya akan menyebabkan gangguan kepada perkembangan otak.

5. Pencemaran udara
Otak adalah penerima oksigen terbesar dalam sistem badan manusia. Pencemaran udara boleh menyebabkan pengurangan bekalan oksigen ke otak dan keaktifan otak.

6. Kurang tidur
Mengabaikan kualiti tidur yang sempurna, akan menjejaskan sel otak dan akan mendatangkan risiko tinggi kepada berlakunya kegagalan otak untuk berfungsi.

7. Menutup muka ketika tidur
Tidur sambil menutup muka akan mengakibatkan otak menerima lebih banyak karbon dioksida berbanding oksigen dan ini akan membawa kerosakan kepada otak.

8. Membiarkan otak bekerja semasa kita berada di dalam keadaan kurang sihat
Bekerja semasa anda kurang sihat boleh mengurangkan keberkesanan otak dan juga membawa kerosakan kepada sel-sel otak.

9. Berfikiran sempit
Berfikir adalah latihan terbaik untuk merangsang otak. Namun, jika seseorang sering berfikiran sempit, ia boleh menyebabkan berlakunya pengecutan di bahagian otak.

10. Kurang berkomunikasi
Komunikasi intelektual mampu merangsang perkembangan otak. Jika seseorang jarang berkomunikasi, lama kelamaan fungsi otak akan mengalami kemunduran.

11. Kurang membaca
Keupayaan berfikir tidak meluas dan sempit. Keupayaan berbahasa juga mengurang.

12. Mengabaikan Meditasi
Tiada ruang rehat untuk otak dan tubuh akan menjejaskan kemampuan memproses maklumat. Bagi Muslim, membaca al-Quran dan sembahyang adalah meditasi terbaik, jika tidak dibuat dengan gopoh!

Thursday, February 3, 2011


MENJADI SEMUT

Sesekali
Perhatikanlah semut-semut di laman
Yang tekun membina kehidupan

Ketika perjalanan meniti pepohon
Mereka seperti berhenti seketika
Untuk bersapaan
Atau mungkin bersalaman dan berbicara
Dalam bahasa mereka

Adakalanya mereka berdua
Sesekali pula bertiga
Bergandingan mengheret dan memikul kelkatu
Atau serangga besar
Menuju sarang

Ada waktu mereka merangkak
Dari akar pelawan ke puncak rahsia
Beradu di bawah hijau dedaun batini
Berteduh di balik ranum buah maknawi
Walaupun sesekali
mereka juga turut sesat
mencari sekujur mentari
Di ladang diri

Seperti kita
Yang mencari sebening nurani
Ketika pulang ke dalam diri
Kita bersiaga di padang peribadi
Dan terus berlari menyusur maknawi


-Kuala Gris-Slow Temiang,

2.16 ptg, Januari 30, 2011