Friday, April 23, 2010

Tuesday, April 20, 2010

MENJAJA KELUH KESAH

LEBIH seminggu saya beruzlah dan membiarkan laman blog ini tidak diisi apa-apa posting.

Begitulah seadanya, ada waktunya kita langsung tidak boleh menerka saat-saat diri disergap sesuatu yang tidak pernah seketip kuku pun akan menerawang di layar kontak mata atau akan tumbuh di perdu benak fikir.

Setelah puas menjaja keluh kesah, yang hanya dibalasi dengan sedikit respon yang adakalanya menghibakan, saya terpaksa juga mendepani realiti. Sahsiah sudah pedih dibirat nestapa.

Menjunjung pepatah, bagaikan menunggu bulan agar jatuhnya di ribaan, begitulah dambaan yang memutik, ranum seketika sebelum manis hanya beberapa saat sempat singgah di lidah, terbiar lalu dibuang!.

Belum ‘menikmati’ uzlah baru pada hari-hari mendatang. Sukar untuk menukangi jerit perih merempuh waktu dan situasi pada sedikit kelansungan hidup selepas ini. Doa segera saya pacakkan di pergunungan harap; Rabb, jiruskan kekuatan pada pepohon diri yang sering goyah ini.

Ada keajaiban? Saya cuba melentur hati dan jiwaraga agar tidak terlalu menyulam harapan!

Friday, April 9, 2010

Thursday, April 8, 2010

MUHASABAH DALAM TALIAN

SEORANG teman semaktab saya yang telah hampir 10 tahun bertugas di utara tanahair baru-baru ini menelefon saya. Tidak pula saya usuli dari mana dia mendapatkan nombor telefon saya, memandangkan selepas ditempatkan mengajar, saya memang terputus hubungan dengan dia. Walaupun berlainan kursus, tapi kami akrab di asrama.

“Awak ada tak rasa bersalah dalam diri macam saya?” Tanya teman saya setelah hampir 10 minit kami bertanya khabar.

“Rasa bersalah pasal apa?” tukas saya.

“Berkaitan dengan tugas kita di sekolah. Mengajar dan membimbing bukan main lagi, tapi kes buang bayi, pecah rumah dan macam-macam kes jenayah makin bertambah tiap-tiap hari…” Sambung teman saya memulakan topik

“Din, kita berapa jam aje dengan dia orang tu. Tugas kita hanya sebahagian daripada tanggungjawab mak bapak dan diri mereka sendiri!”

“Agaknya kita asyik tekankan akademik aje dalam kelas, moral dan sahsiah kita banyak alpa.” Nada teman saya mula berbaur keluhan.

“ Masing-masing dah ada peranan sebenarnya. Setakat manalah kita dan ibubapa nak kawal pergerakkan mereka. Macam penyakit yang hingga kat badan kitalah juga, kalau antibody kita kuat, virus takkan suka bertapak..” Saya lebih suka berkias.

“Betullah kata awak tu. Kita tak tahan uji. Iman mudah pecah dengan banyak ancaman di luar sana..” kata teman saya mengiyakan.

“Orang lain biarlah, tapi awak kena ikut apa yang dah saya amalkan!” getus saya.

“Macam nak kongsi petua je.”

“Tak adalah petua, ni pesan para ulama kita. Kita dah langsaikan tugas kita hari-hari kat sekolah. Apakata sebelah malam, lepas solat Isyak ke, solat tahajjud dan Hajat ke kita panjatkan doa-doa panjang-panjang, moga-moga semua anak murid di sekolah dapat terima semua yang diajar dengan elok, terjaga akhlak mereka sepanjang masa dan cemerlang dalam kerjaya mereka nanti!” ujar saya bertazkirah panjang.

Sebaik talian diputuskan, kami sudah berpadu iltizam untuk terus beristiqamah melaksanakan tugas hakiki dengan lebih dedikasi, ditambah dengan pacakkan doa, mohon berkat Ilahi!

Wednesday, April 7, 2010

Terima Kasih TC,
Terima Kasih MPR,
Terima Kasih DBP!





Buah Pena Alumni MPR, TUNAS CIPTA - April 2010.