Monday, June 29, 2009

USTAZAH KAFA LAGI…..

Ingatkan seusai babak bermulanya mengajar sang ustazah kafa baru minggu lepas, semuanya telah reda. Tapi muncul pula episod baru. Kenari yang dipandu acapkali benar bersimpuh di parkir GB.

Banyak mulut mengomel. Barangkali bila sampai ke cupingnya, maka petang tadi sang Kenari tidak lagi berteduh di mana-mana perteduhan, tetapi berpanas berhujan di dataran, biarpun hampir 10 garaj kosong tersedia untuk dibumbungi.

Merajuk? Respon negative atau memang tidak boleh ditegur?.
Bukan salah parking di mana-mana garaj kosong, tapi kami 24 orang guru pun tak berani angkat handbrek kereta di garaj GB. Walaupun datang waktu ko sebelah petang.

Wajarnya, pabila teguran sudah sampai di gegendang, sahutlah dengan lagak berhemah. Jange nnyetoq!!!. Kitakan da'ie kafa…

Entahlah, dah masuk minggu kedua ni, wajahnya dan lenggang jasadnya masih belum muncul di ruang mata ini. Tak keruan, keliru bila ada guru kafa yang seperti seorang ini seperti tidak tersenarai dalam fail aku sebagai penyelaras.

Gamaknya, bahana status yang dibawa – mengundang multirasa di kalangan seluruh warga. Apa pun aku telah bersedia untuk menerpa dan diduga….

Sunday, June 21, 2009

GUNDAH MENDUGA TENGAHARI TADI....

Entahlah, hati aku memang susah untuk berang pasal hal-hal kecil di sekolah, lebih-lebih lagi yang melibatkan PAI dan KAFA.

Selepas mendapat panggilan dari PPD agar aku menghubungi seorang guru KAFA baru bagi menggantikan Ustz Norizan yang bakal meneruskan latihan perguruan KPLI j-QAF di IPGMKDR, jemariku terus menekan nombor tertera yang disebut Ustz Leh.

Hampir 10 kali, panggilan tidak dijawab, sesekali terdengar rakaman suara operator, adakalanya semacam sengaja tidak diangkat membiarkan irama CMT yang cukup meluatkan berdesing cupingku.

"Kenapa tak jawab panggilan saya?" terpacul dari bibirku sebaik mendapat respon di hujung talian.

"Saya tak angkat sebab nombor yang terpapar di skrin tak bernama, bimbang juga, ramai yang suka kacau orang perempuan sekarang ni..." aduh, telingaku bingit.

Sapa hang ni??, desis nubariku.
"Awak nak ngajar KAFA tak?" getusku
"Mestilah mahu, saya sendiri yang hadir temuduga!"
"Kalau nak, datanglah ngaja jam 1.15 nanti."

Telefon aku matikan tanpa apa-apa reaksi. Suara bersambut sedikit menyirapkan darahku. Sepatutnya aku perlu maklumkan tentang tarikh lapor diri di sekolah, makluman tentang kelas yang bakal diajar, tentang elaun dan sedikit info lain tentang KAFA di SK SIE.

Aku mendengus, membiarkan dia datang mengajar tengahari nanti dengan lenggang seorang ustazah yang lagaknya serba tahu.
patutlahlah, janda berhias memang takut (mahu) digoda?

Wednesday, June 17, 2009

'TILMIZ' TERUS BERKELOPAK DI AWAN MINDA

Setiap kali masa free di sekolah, aku sering membayangkan sudah zahir sebuah kumpulan nasyid TILMIZ bagi generasi akan datang. Telah aku persiapkan di perdu hati dan jiwa untuk lebih berdedikasi dan tekun dalam membina group baru itu nanti.

Dalam Seminggu ini sudah kusiapkan dua buah lirik nasyid. Janji yang telah dipahat dengan Cikgu Nasir (SMK(A) Lati untuk menggubah lirik tersebut menjadi irama Masri dan Kontemporari terus membugar di sudut nubari.

Setiap hari aku meneliti kembali persembahan beberapa kumpulan nasyid lain yang menghiasi pentas festival tahun ini. Irama, lirik, persembahan dan yang penting menyelam ke dasar nun jauh menghirup makna 'air lagu' nasyid sebenar yang meruntun hati sang hakim.

Biar lemas, aku nekad kali ini. Soutu Raudhah menjadi mento buat anak-anak didikku yang bakal menjadi nadi TILMIZ musim akan datang. Johan tiga tahun berturut-turut di peringkat 3KP Kedai Tanjong membakar semangat ini untuk terus bangkit dan melangkah!!

Sengaja kuangkat congga, yenki dan tamborin ke kamarku di teratak APD. Biar mata ini bugar sentiasa, beralun dengan tepuk nada yang bertingkah biar tidak selalu disentuh telapak.

Semangat dan iltizam makin hijau pabila yenki baru yang ditempah bakal tiba sedikit waktu lagi. Insya-Allah pemilihan ahli kumpulan baru akan kumulakan pada masa terdekat ini....

Friday, June 12, 2009

KEMAAFAN

Ianya milik kita
Bernama manusia
Menjadi perantara
Salah dan silap pada laku dan tutur bicara
Peribadi mulus
Akui kesilapan sendiri
Terbit kata maaf dari hati paling suci
Penyambung ukhwah
Membunuh syaitani
Mohon maaf dan maafkanlah
Agar kita tidak berlama
Di hari hisab-Nya.

Monday, June 1, 2009











SANTAI PETANG
Biasanya, dalam 2 kali seminggu, anak-anak akan dibawa bersantai. Penting juga untuk melapangkan minda mereka selepas hampir separuh hari di sekolah. Berekreasi juga mustahak untuk kecergasan jasmani dan rohani mereka.
Lihatlah, seronoknya dua putera dan puteriku, Wan Muhammad Azeem Irham, Wan Muhammad Ameer Danish dan Wan Nur Athirah bersantai di Taman Rekreasi Tengku Anis, Lubok Jong. ...Dan abahnya pun tak mahu lepas peluang untuk berbuai... Itu pun bila dah ramai kanak-kanak yang dah pulang!