Friday, September 9, 2011

MENGGANTUNG HARAP

* Serasa segar dingin bagai air di terjunan, saya kembali berentri di laman blog yang agak usang ini.

Bagai mencatur masa depan dalam skop profesion diri, sekali lagi saya puncakkan harapan untuk kembali bertugas di daerah bermukim. Sukar menerka, samada percaturan kali ini merimbun teduhan rezeki atau masih dipercik ruam dan haba yang hangat.

Sudah cukup dijera rasanya, berkemelut dengan situasi diri sebegini. Walau perit, saya telah gaulkan segala rencah rasa tersebut yang sudah pun bersebati di dalam acuan nurani. Temali redha, pasrah dan istiqamah telah saya ikat kemas-kemas di pinggang iltizam. Saya telan takdir walaupun pahit merembes kerongkong, jua, saya memamah nestapa biar berkerikil di mulut jiwa raga…..

Sambil menanti pertimbangan dilakukan, saya akan cuba menghabiskan sisa-sisa kepayahan di ulu negeri ini dengan saki baki kekuatan yang ada. Demi anak-anak didik, saya telah lama belajar melupai rasa gundah dan amarah yang telah bersilih purnama membengkak dan membusung di kalbu dukalara.



Sajak terkini nukilan saya yang disiarkan Harian Metro edisi selasa, 6 September 2011.

Wednesday, May 25, 2011




KEMBALI BERENTRI

SUDAH agak lama blog ini tidak dientri sebarangan anekdot. Dalam situasi dikejar dan mengejar masa, sedikit catatan kecil selalunya saya paparkan pada MUKA BUKU sahaja.

Namun, apabila melihat sajak terkini saya disiarkan sebuah akhbar bertulisan jawi (sisipan sebuah media harian), dalam rasa teruja ingin saya memorikan sajak khas Hari Guru bertulisan jawi ini di kamar blog kesayangan saya ini.

Biarpun menulis dan membaca jawi sudah menjadi rutinan tugasan saya seharian, namun sesekali karya muncul bertulisan jawi ini, saya merasakan betapa tulisan warisan berzaman ini perlu sentiasa diangkasakan serta dimartabatkan tanpa mengira situasi dimensi.

Friday, April 29, 2011

SUMPAH, JANGAN SAMPAI KITA DILAKNAT ALLAH

Bekas Imam Masjid Saidina Omar Al Khattab, Bukit Damansara, Ustaz Shamsul Firdaus Alhafiz berkata, sumpah laknat yang dilakukan Trio Datuk T, tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar.

Beliau merujuk tindakan salah seorang individu terbabit, Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang dikatakan mahu mengangkat sumpah laknat di Masjid Amru Al-As di Sentul selepas solat Jumaat

“Sumpah untuk nak buktikan tuduhan zina cuma boleh dilakukan terhadap isteri sahaja. Itu dipanggil sebagai sumpah Li’an. Itu dinyatakan dalam Al Quran Surah An Nur ayat ke 6 hingga ke 10, ” ujarnya kepada Keadilandaily.
“Sumpah li’an ini pula adalah sumpah saling rela dilaknat, ia tak ‘laku’ kalau hanya sebelah pihak sahaja. Kedua, ia tidak ‘laku’ kalau tidak membabitkan suami dan isteri,

“Sumpah yang dilakukan Datuk T ini tidak terpakai dan tak boleh pakai,” tegas beliau.

Katanya, sumpah mubahalah seperti yang diperkatakan ramai orang pula, hanya melibatkan persoalan akidah dan tidak ada kaitan dengan hukum syarak.

“Sumpah Mubahalah cuma nak menyatakan dalam soal perdebatan akidah dan ia tidak menyangkut paut dengan hukum syarak. Ia berkenaan akidah sahaja. Misalnya perdebatan antara ahli kitab dan orang Islam, dalam tuduhan seks tidak ada sumpah muhabalah.

Justeru, katanya, tindakan Datuk T yang terdiri daripada Shazryl Eskay, Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, dan bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim itu tidak diterima dalam kaedah perundangan Islam.

Dalam kes fitnah membabitkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, Shamsul berkata, di dalam Islam, ia perlu mengikut saluran yang ditetapkan hukum syarak.


“Dia (Datuk T) kena ikut proses, sebab itu perlu membawa empat saksi. Kriteria saksi ini mesti lah memenuhi syarat seperti adil, tidak fasik dan tidak buat dosa-dosa besar,” jelas beliau.

Ketika ditanya mengenai hukum daripada tindakan individu berkenaan, Shamsul berkata sumpah yang dilakukan itu tidak memberi sebarang kesan kepada yang dituduh mahupun yang menuduh.

“Ia tidak boleh dijadikan asas sebagai penerimaan bukti samada betul atau tidak,” tambahnya.

Sementara itu, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Ustaz Dr Badrul Amin Bahron pula mengingatkan umat Islam supaya jangan sewenangnya mempermainkan agama dengan merujuk tindakan individu berkenaan.

“Jangan sampai kita semua dilaknat Allah! Siapa ajar sumpah-sumpah ini? Agama apa? Kenapa di masjid? Sumpah bukan ajaran Islam, ikut Islam sebat saja mereka ini,” katanya sambil menyeru umat Islam merujuk surah An-Nur ayat 4.

Friday, April 22, 2011

KALAM JAMAIE SK TENGKU BARIAH - JOHAN KEBANGSAAN 2010