Sunday, August 30, 2009




SEMULUS RAMADAN


Rindu pun tumbuh
Di persada atma
Syukur dan tafakur
Bening di laman taqwa

Ramadan hadir lagi
Membawa angin rahmat
Bertiup dalam sepoi berkat
Maknawi kehidupan

Selami makna mulusnya
Sesayup pilu menyentuh kalbu
Pengorbanan naluri
Akan mengalir ke lembah hidup
Dalam arus putih
Sedingin syurga.


Senja 2 Ramadan 1430, Pinggir Pasir Mas.

Friday, August 28, 2009

DIRGAHAYU TANAHAIRKU!

Salam Kemerdekaan ke-52 kepada semua penjenguk blog ini. Di sinilah kita dilahirkan dan dibesarkan.

Kita terus dewasa di tanah bertuah ini sebelum dijemput pulang pemilik abadi.




Jemput hayati kemerdekaan dalam artikel ini di: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Agama/20090828011444/Article/index_html




Thursday, August 27, 2009

KUNTUM RAMADAN

Berkembang kuntum Ramadan
seri jambangan waktu
dalam senyum bulan jernih
mengabdi diri

mewangi kuntum Ramadan
semerbak ke taman hati
menyuci batiniah
tulus suci

berguguran kuntum Ramadan
dalam diri insani
sirna mimpi gersang
damai ukhrawi

6.05 petang, Dataran Air Muleh.

Monday, August 24, 2009

MENGGULUT NISTA
(Buat seorang Wakil Rakyat pengkhianat)

Menyusur lurah curam
di kaki duri menusuk ke jantung hayat
racun menitis di kelopak dusta
gelodak berpusar di dasar kepuraan
hanyir menyirat ke nubari

santaplah semangkuk naluri hitam
dari kenduri nista
di persada kalbu songsang
terhimpun di usus durja dan sirna
menjadi hampas yang paling hina!

Friday, August 21, 2009


AHLAN WASAHLAN YA RAMADAN

Kita santapi 30 hari al- Mubarak ini dengan madu keimanan, gula ketaqwaan dan manisan kesabaran..

Bersiap siaga nikmati keberkatan ini dalam artikel saya di:
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Agama/20090820232557/Article/index_html





Tuesday, August 18, 2009

SESEKALI
Sesekali
marilah kita menggumam muhasabah
dalam fikiran basah
menerobos maknawi
mengukur manusiawi
di petak usia yang bersegi

Sesekali
Tika dihantar ujian dan masyaqqah begini
Apa sebenarnya yang bertingkah pada lisani
Peritnya dijepit nestapa
Syukuri terhindar wabak durjana
Atau
Marilah kita tempur bala menimpa
Dengan utuh durga
Kerana gelodak menerpa
Adalah peringatan dari-Nya
Buat kita-kita
yang selalu buat-buat lupa
Menimbun dosa
Melekit sebati
Dalam gaulan daki dunia!

Saturday, August 15, 2009

BAHANA NAJIS MUTAWASITTAH

Sekali lagi, marilah berkongsi ilmu melalui artikel saya dalam Berita Harian, Jumaat, Ogos 14.

Tuesday, August 11, 2009

GALAS AMANAH AKBAR
Semalam, sekitar jam 10, ketika baru saja bersiap siaga untuk menyiapkan beberapa tugasan KAFA dan majlis Solat Hajat Perdana, seorang teman sejawat dari sekolah lama saya menelefon, musykil kerana saya belum sampai untuk bertaklimat di PPD pagi itu.
Saya terkesima seketika. Saya tidak pula menerima apa-apa surat jemputan atau panggilan untuk hadir ke PPD pada tarikh semalam.
“Hah? Ketua Pengawas UPSR?”
Saya sebetulnya tidak pernah mohon untuk pikul tanggungjawab tersebut. Seingat saya, lebih kurang sebulan lepas, sewaktu ke unit KAFA, saya ada mengisi borang memohon untuk bertugas sebagai pengawas SPM pada November nanti. Tanpa respon untuk tugas yang dipohon, tiba-tiba saja saya dihulur amanah akbar ini buat pertama kalinya.
Saya bergegas ke PPD bersama PK HEM yang turut sama ditawarkan jawatan sementara itu. Sepanjang taklimat, dada saya serasa sifar melihat fail tugasan yang sarat ‘muatan’ di atas meja.
“Biasalah, kali pertama, dah masuk kali kedua nanti tak adalah kekok sangat, saya dulu pun macam tu juga, gementar sangat!” Kata Kak Mahiran, rakan semaktab saya dulu yang turut berdai'e di daerah ini.
Saya cuba bulatkan tekad. Pintal semangat, kejapkan iltizam dengan langkah “paksa rela’ saya akur menerimanya. Pasrah, tapi Insya-Allah akan redha (bagi mohon keberkatan-Nya).
“Nanti, balik rumah baca kitab panduan yang tebal tu ya. Kalau boleh khatam sampai 3 kali!” pesan seorang lagi Ketua Pengawas yang sudah veteran.
Angguk pun tidak, jawab pun tidak. Saya sekadar bersedekah senyuman hambar. Dalam dada, ombak keluh kesah masih terus membadai.
Pada 9,10 dan 11 September nanti, di SK Tanjong Bunga, segalanya bukan lagi fantasi!

Monday, August 10, 2009














BUKAN TAK BOLEH KETAWA, TAPI....
MARI berkongsi rasa dalam tikungan akhlak Mahmudah.
Bermuhasabah diri untuk sedetik waktu dengan artikel saya
dalam Berita Harian hari ini..


Ketawa berlebihan sifat kaum munafik
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

SUKA dan duka menjadi asam garam kehidupan. Setiap insan sering dihadapkan dengan pelbagai keadaan hidup yang memerlukan tindakan mental dan fizikal tertentu.
Menangis dan hiba sering dikaitkan dengan kedukaan dan penderitaan, manakala ketawa selalunya menjadi manifestasi keriangan dan kepuasan yang tidak semua insan dapat merasainya.
Islam tidak pernah melarang umatnya untuk melahirkan rasa kegembiraan dan kepuasan hati mereka dengan ketawa. Namun, sebagai agama syumul dengan pelbagai adab dan disiplin, syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan.
Ia bagi mengelakkan orang Islam dipandang rendah martabatnya oleh bukan Islam. Menyingkap sirah Rasulullah SAW ketika hebat melancarkan misi dakwah melalui jihad perang selepas hijrah ke Madinah.
Allah menempelak sebahagian tentera munafik yang pada mulanya menyatakan persetujuan untuk bersama Baginda di medan peperangan. Bagaimanapun, mereka membatalkan janji dan persetujuan pada saat genting tentera Islam bakal bertarung dengan kekuatan tentera Musyrikin Quraisy dalam Perang Uhud.
Berikutan peristiwa itu, Allah berfirman bermaksud : "Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka usahakan. (Surah at-Taubah, ayat 82).
Jelas daripada mafhum ayat ini, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum munafik selalunya suka mengamal tabiat ketawa berlebihan. Sedih, murung, riang, gembira dan ketawa adalah sentuhan naluri semula jadi, tetapi Islam tetap mengehadkan untuk mengelak berlaku dalam keadaan melampau.
Lantaran Islam menyediakan pilihan yang boleh diamalkan bagi mengelak kita daripada bertindak di luar batasan kemanusiaan apabila hati dan perasaan bertindak balas dengan apa yang dialami.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati." (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi).
Sewajarnya setiap insan mukmin segera menginsafi diri untuk tidak menjadikan ketawa sebagai perantara menzahirkan perasaan tersendiri dengan cara berlebihan. Hal ini kerana dibimbangi boleh membawa kepada beku dan matinya hati.
Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah. Apabila rasa takutnya berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada Allah.
Ketawa yang sampai ke tahap berlebihan, maka ia lebih mengundang perkara negatif. Orang banyak ketawa lebih suka membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan sesuatu bermanfaat. Banyak ketawa juga boleh melupakan manusia daripada mengingati mati dan himpunan dosa yang menimbun dalam diri.
Apabila lupa kepada mati, manusia lupa membuat persiapan menuju ke alam abadi kerana terlalu leka dengan keindahan, kekayaan, keseronokan dan kegembiraan yang tidak lebih hanya bersifat sementara.
Justeru, bermuhasabah diri adalah jalan paling terbaik supaya tidak terlalu leka dengan keseronokan dan keriangan yang dinikmati di dunia. Kita juga diminta tidak mudah berpuas hati dan leka dengan pencapaian tersendiri dan akhirnya menjadikan ketawa sebagai teman kepada keseronokan.
Sekali lagi ditegaskan bahawa Islam tidak pernah melarang umatnya untuk ketawa, tetapi biarlah di atas landasan syariat yang sederhana. Kita tidak dapat mengelakkan sesuatu yang semula jadi tercipta.

Saturday, August 8, 2009

PENANGAN PENYUBUR MAHKOTA
Sebaik melangsaikan bayaran akhir kereta bulan ini, saya parkir kereta di pinggir Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. Mata saya melilau mencari kios bernombor RF28 di Medan stadium.

Niat di hati hanya satu, saya mesti dapatkan minyak dan syampu cocomill untuk suburkan rerambut di puncak mahkota. Membilang anak tangga ke tingkat tiga, dup dap juga dada saya, maklumlah alamat tertera adalah saloon untuk kaum hawa. Apa kata mata yang memandang nanti.

“Jarang benar orang lelaki ke premis saya ni. Masuklah!” Jemput seorang gadis genit. Rasa saya sudah tentu salah seorang staf di saloon itu, saya hanya membatu sambil mengukir senyum.

“ Berminat nak buat rawatan rambut?” sambungnya.
“ Eh, taklah, saya hanya nak beli penyubur dan syambut rambut je…” cepat-cepat saya menjawab.
“ Mana tahu nak cuba…”
“Tak pa la, saya kalau boleh nak tebalkan sikit rambut ni, ramai yang kata makin jarang. Bukan nak bergaya. Umur dah meningkat. Dah ada keluarga pun….” Sambung saya.
“Orang lelaki ni, macam kelapa tua. Hanya usia yang bertambah, tapi tetap berharga di pasaran, tak macam kami orang perempuan.” Balas gadis tadi sambil dipersetujui rakannya yang sejak tadi asyik mengemas pelbagai kota jenama kosmetik di kiri kanan bilik.

Saya tinggalkan saloon sebaik usai melunas bayaran. Boleh tahan juga harganya. Sambil membelek-belek label yang tertera di kotak minyak dan syampu, jauh di perdu hati, saya menyimpan azam untuk beristiqamah menggunakannya nanti.

Saya mula membayangkan rambut saya mula lebat dan kehitaman. Kalau ada perubahan, tentu ada yang akan memberi reaksi positif nanti.

Betul ke kaum lelaki terus bernilai di pasaran manusiawi? Pada saya, bukan semua. Yang laku mesti ada kualiti dan nilai-nilai komersial (?). Produk terbaik bukanlah hasil dari tempelan selaput kosmetik. Aset mulus yang bertunas dalam diri sahajalah sebenarnya yang membugarkan sahsiah ruhani dan jasmani.

“Abah, nanti Ameer nak guna juga minyak rambut ni ya…” kata anak saya sebaik enjin kereta saya hidupkan. Bulan depan, bila bercermin, sudah tentu akan terbukti, samada rambut saya atau rambut anak saya yang akan melebat dahulu!!

Sunday, August 2, 2009


PERSADA KETUANAN INI
Menghiasi sudut Sajak DEWAN SASTERA bulan Ogos 2009. RAFAK Merdeka buat semua pengunjung blog ini.

Ketika darah terpercik
Mengiringi sebuah kelahiran anak pribumi
Telah lama pewaris zuriat ini menjadi penghuni
Pemilik tanah bertuah
Bangkit mencipta sedekad mimpi
Mendewasakan anak kecil
Sekujur amanah Ilahi
Melayu sejati berjiwa Islami

Kini
Minda remajanya mula teruja
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasa penyeri jiwa
Kurang ajarnya tetap bersantun
Di sebalik gelodak panas menyanggah durga
Pantang keturunan teraniaya
Merabak waris generasi pembela
Kerana bangsa kita kan tetap bertakhta

Kita terus dewasa di puncak ini
Namun masih berdagang di rumah sendiri
Sesekali kita berkelahi
Menahan dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marah bangsa kita lebih banyak berdiam lidah
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Tanah ini tanah bangsa kita
Kerana Melayu telah bebas merdeka
Generasi bestari minda
Meski sesekali dimamah gulana
Memegang tali mencapai timba
Miliki ekonomi mencipta budaya

Rajuk bangsa kita
Sekadar terkilan pada keluh kesah
Namun, biar ditusuk sembilu
Biar berdarah di hutan batu
Kita bukan jebat yang membela
Bukan gila kuasa
atau menjadi penderhaka
Kerana kita adalah Melayu perkasa
Yang tidakkan hilang di persada dunia!

Pasir Mas,Januari 2009