Thursday, December 17, 2009




MERAUT RINDU MPR 1988

BIARPUN telah lebih 22 tahun berlalu, nostalgia manis mengikuti Minggu Remaja (kemudiannya dikenali sebagai Minggu Penulis Remaja) masih bugar di perdu ingatan.

Shaidah (Shasha) dan Ainol Amriz telah lama bergelar wartawan di Berita Harian dan Utusan. Saya, Hameer Habid dan Nik Khatijah (Haija Die) kini kami berstatus pendidik. Jamaludin, Harman Sham, Khairul Anuar, Fauziah Yunus,Syed Agil, Narizah Samat (adik kepada Talib Samat), Tan Bok Hoi dan Zaireena Onn – di mana agaknya kalian??

Indahnya saat berkongsi rasa itu kian menghimbau apabila menatap Dewan Sastera edisi Disember yang membawa tema Minggu Penulis Remaja, membina penulis pelapis. Terima kasih dan tahniah buat sdr Rozninah (editor DS) yang prihatin dengan membuka ruang kepada khalayak bagi melihat dan merenung tahap perkembangan dan keperkasaan sastera remaja khususnya keberhasilan yang dinatijahkan sebuah ’institut’ MPR yang kini memasuki usia 24 tahun!

Tidak semewah MPR pada edisi kini yang berbumbungkan penginapan ternama, generasi kami ketika itu hanya berulang alik dari Wisma Belia ke Balai Budaya DBP selama seminggu bagi mengisi pelbagai slot program yang diatur penganjur.

Di era kami, dua buah antologi menjadi buah tangan yang cukup bermakna sebagai hadiah dari pihak DBP iaitu antologi cerpen Permata Nilam Biru dan Salji Masih Berguguran, selain antologi sulung pemenang Hadiah Sastera Dewan Siswa-Bank Rakyat iaitu Lalu Kulepaskan Resah Sepi.

Dalam usia 16 tahun, Saya di antara 30 orang remaja yang telah dipilih DBP bagi menyertai MPR edisi ke-4 pada tahun tersebut. MPR telah melahirkan nama-nama besar seperti Hizairi Othman, Faisal Tehrani, Shamsudin Othman, Mawar Shafie, Salina Ibrahim, Nisah Haron, Rahimidin Zahari, Mawar Shafie, Maharam Mamat dan Siti Jasmina Ibrahim (sekadar menyebut beberapa nama).

Agak membanggakan, apabila beberapa tahun kemudian atas inisatif orang mantan peserta MPR 1985 dan 1986 Kelab Alumni MPR telah berjaya ditubuhkan. Saya sendiri telah berkesempatan menyertai aktiviti kelab pada tahun 2000 atas jemputan sdr Hizairi Othman (masih hilang penuh misteri) yang merupakan Pengerusi Kelab mantan MPR ketika itu. Saya dipilih sebagai panelis untuk slot ‘Bual Bicara bersama Mantan MPR’ yang turut disertai Zarihah Hassan dan Maharam Mamat dengan moderatornya sdr Salina Ibrahim (kini Editor Perunding di Karangkraf)

Sesungguhnya pertemuan Kelab Alumni Sabtu ini – 19 Disember 2009 amat mengesan jiwa. Malangnya, atas komitmen profesion kini, saya cukup terkilan kerana sekali lagi tidak dapat menghadirkan diri, walaupun kocakkan rindu dalam dada bergempa di mana-mana.

Selamat bertemu menjahit akrab, selamat bersilaturrahim mengait berkat!!

3 comments:

Hamir Habeed Mohd said...

Saya tidak ada di dalam gambar pertama. Saya di kelas Gikgu Rahman Shaari. Bagaimanapun, gambar kedua tu, nostalgik betul!

Ramai yang tidak dapat saya camkan.
Faktor umur barangkali.

Terima kasih untuk nostalgia ini.

WAN MARZUKI said...

Saya selalu selak album MPR edisi kita. Memang nostalgik.

Alhamdulillah, saya masih ingat seorang demi seorang teman-teman seangkatan kita tu!

wan said...

Sekali tengok gambar yg sdr post mcm lokasi sama pernah bergambar di situ, rupanya berbeza tahun... patutlah saya takde dalam gambar. saya mantan peserta MR 1986. walau masa tu hanya tinggal di Dewan Belia, tapi rasanya kenangan jadi anak angkat DBP pada tahun tahun awal MR amat bermakna sekali.

RIndu sekali pada zaman penulisan yang jauh ditinggalkan ke dalam waktu.