Saturday, June 5, 2010

MENELAN TAKDIR

WALAU dalam berat hati yang teramat, saya gagahkan juga tekad dan kesabaran untuk menempuh apa jua takdir dan suratan. Jerit perih yang menggugah jiwa raga yang telah berusia lebih 50 hari, saya simpan di perdu nubari. Biar ianya diam dan bungkam di situ.

Dalam fikiran yang berbelah bahagi, saya terima jua lamaran dari pihak atasan untuk hadir ke Gem Beach Resort, Mengabang Lekar, dan seterusnya menerima lantikkan sebagai hakim dalam satu acara Majlis Tadarus Al-Quran (MTQ), Bercerita Kisah dari Al-Quran dan Syarahan Agama Peringkat Kebangsaan Kali ke-36 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berlangsung hampir seminggu.

Ikutkan rajuk di kalbu, saya boleh memberi sejuta alasan untuk menolaknya. Namun, siapalah saya untuk untuk menongkah arus memporak-perandakan jati diri sendiri!

Saya memandu ke Negeri Penyu Bertelur itu dalam bauran perasaan yang menerpa benak.

“Anta jangan bimbang, ada hikmah dan rahmat tu..!” ujar teman sebilik saya, Ustaz Ismail sebaik saya bercerita tentang keperitan yang telah saya redah sejak berpindah ke daerah baru.

Begitu ramai teman-teman yang mendoakan begitu. Sebagai hamba-Nya saya kini telah 99 peratus redha, akur dan pasrah dengan ketentuan yang telah saya teguk segala kepahitannya.

Jiwa saya agak lapang setelah ramai teman-teman hakim yang datang dari pelusuk Semenanjung tidak putus-putus mendoa dan menyuntik iltizam agar saya terus tabah meneruskan sisa-sisa tugas yang berbaki dengan membuang segala rencah perasaan yang boleh menoda ketekunan diri.

Terima kasih teman-teman kontinjen Cik Siti Wan Kembang – Ustaz Rasidi, Rozaini, Noraida dan Kak Zamriza yang sentiasa bulat menyokong saya.

Begitu juga teman-teman semeja di meja pertandingan Bercerita Kisah dari Al-Quran- Kak Yati (Ketua Hakim) dari Bahagian Pendidikan Islam, Ustaz Azman (Selangor), Ustaz Bukhari (Pahang), Kak Ruzimah (Johor), kak Hendon (Melaka) dan Kak Die (Perak) yang telah membina ukhwah di meja muzakarah dan dewan Mahyudin. Moga akan diberi kesempatan untuk kita ketemu lagi!






No comments: