Wednesday, February 17, 2010

KECEWA SAYA BERSERAKAN DI MANA-MANA!

TIDAK pernah berlaku. Sudah puluhan tahun, aktiviti dakwah yang membabitkan Majlis Tilawah, Tahfiz dan Bercerita Kisah dari al-Quran (MTQ) dan Festival Nasyid di peringkat Kementerian Pelajaran meranum syiar di serata pelusuk samada di peringkat Zon, Daerah, Negeri dan kebangsaan. Tidak pernah sekalipun acara tahunan itu dihentikan atau ditangguhkan, seingat saya sejak saya berada di Tahun Satu lagi.

Saya sendiri dizahirkan bakat melalui majlis Tilawah Quran ketika di Tahun 5, walaupun kemudiannya bertukar sisi dalam sudut bahas ketika berada di peringkat menengah atas. Pernah menggondol Naib Johan Tilawah Quran peringkat Daerah dan Pembahas Terbaik peringkat Sekolah-Sekolah Agama Kelantan 1991.

Namun, rasa kecewa dan hampa saya berserakan, malah bertaburan di merata kondisi sebaik mendapat perkhabaran bahawa MTQ dan Festival Nasyid yang sekian lama memeriahkan syiar dakwah untuk akitiviti Pendidikan Islam dibatalkan pada tahun 2010 ini. Dengan pengecilan bajet untuk kegiatan murni tersebut, sumber kewangan bagi kedua-dua acara hanya cukup untuk peringkat Kebangsaan sahaja. Ini bermakna tidak ada lagi pertandingan untuk kedua-duanya di peringkat Zon, Daerah dan Negeri sebagaimana puluhan tahun sebelum ini.

Selain untuk memartabatkan kalamullah dan memuncakkan kesenian Islam itu sendiri, MTQ dan FN sebetulnya menjadi medan seluruh Guru Pendidikan Islam (GPI) dan sebahagian Guru Muzik di sekolah-sekolah menengah dan rendah untuk menggiatkan bakat seni dan berusaha meningkatkan tahap penguasaan dan ilmu Al-Quran dari masa ke semasa.

Saya sendiri, bermula November 2009 lagi telah menyediakan slot khas ala-ala akademi nasyid yang dibuka kepada semua murid Tahun 4 dan 5 dengan tujuan mencari pelapis bagi menggantikan Kumpulan Nasyid TILMIZ yang dibubarkan setiap tahun kerana anggotanya terdiri dari kalangan murid Tahun 6 yang akan melangkah ke sekolah menengah.

Setelah lahirnya anggota baru, saya bersama rakan guru di sebuah sekolah agama di Pasir Mas mula giat berlatih bersama. Rakan saya itu menggubah irama, manakala saya menyiapkan liriknya. Kami telah beberapa kali mengandakan latihan bersama.

Begitu juga dengan persediaan murid untuk bercerita dan hafaz Al-Quran. Telah saya siapkan mereka teks cerita dan juga senarai penuh ayat-ayat dan surah yang perlu dihafal.

Akhirnya, saya redha. Akur dengan realiti yang harus ditelan bermula tahun ini. Walaupun pada masa yang sama seluruh sahabat di peringkat BPI, SPI, Unit PI di PPD serta seluruh warga GPI di seantero Malaya sedikit terkilan dan pedih ulu hati dengan apa yang telah tersurat!!

2 comments:

hanrisa said...

salam...bila baca blog saudara ni..betulkah...MTQ n Festival Nasyid 2010 tahun ni dibatalkan sebab2 bajet dikurangkan???? biar betul!!

WAN MARZUKI said...

Hanrisa,
Surat makluman dari BPI yang difakskan ke PPD menyatakan bahawa bajet disediakan KP hanya untuk peringkat Kebangsaan sahaja. Justeru, tiada pertandingan di peringkat Zon, Daerah dan Negeri.

Terpulang kepada JPN masing-masing buat pemilihan team MTQ dan FN ke peringkat tersebut.