Thursday, April 16, 2009

Di manakah kekhilafan kita??

KHILAF
Disiarkan Mingguan Malaysia 12 April 2008



ADA waktunya kesangsian begitu payah menemukan diri kita dengan realiti sebenar kehidupan. Allah sendiri tidak pernah menjadikan apa jua takdir dan suratan sebagai hukuman kepada hamba-Nya. Manusialah yang perlu menerobos ke dalam diri, menyelongkar sawang kekeliruan dengan berhemah dan bestari, selebihnya berusaha menterjemahkan frasa-frasa maknawi kehidupan yang selalu tersembunyi.
Fan,
Diri ini segera diserbu kehibaan saat pertemuan kita beberapa minggu lalu. Mahabbah silam kembali bugar saat kita masih bermukim di bumi piramid. Biarpun berlainan jurusan, sebagai rakan seasrama, kita agak akrab.
Hampir lima tahun kita kutip mutiara ilmu di kampus tersohor Al-Azhar. Saat-saat akhir memerah minda bagi mengait natijah di persada ilmu, kita hanya sempat bertemu di sekitar kampus sahaja, apabila kau tinggal bersama pakcikmu Uncle Farouk di apartment mewah di pinggiran Kaherah.
Namun, keakraban yang telah ampuh tidak akan mudah pudar dan kendur. Kau menggenggam Jayyid Jiddan dalam dalam bidang Usuluddin, manalaka aku pula Mumtaz dalam Siasah Syariyyah.
“Akhirnya kat sini kita jumpa Mil!”. Kerinduan terlerai dalam pelukkan sebuah keakraban. Tinggal dua jam sebelum kita berlepas ke destinasi tujuan, kita rangkumkan kembali ingatan lampau.
Fan,
Sebetulnya aku terkesima sebaik berdepan denganmu. Sejurus selepas kau mula hilang di balai berlepas, berlapis-lapis persoalan tersusun di kota fikiran. Menerawang ke detik persahabatan kita yang lama itu.
Barangkali kerana itulah aku sering tergagap-gagap menyusun kalimah sewaktu berbicara denganmu tika senja di KLIA tempohari. Tidak seperti dua belas tahun yang lalu, aku tidak pernah berasa sekekok ini.
Pun begitu, jauh di sudut hati, aku tetap bangga Fan. Kau sudah bergelar Pengarah Eksekutif dan memilik sebuah Kolej Pendidikan di Australia. Mengambil alih peranan pakcikmu, kau juga sudah membuka cawangan di kota Jakarta. Tidak ramai graduan al-Azhar yang berjaya dalam pengurusan pendidikan akademik sepertimu. Dengan penampilan dan pakaian yang tersarung di tubuh sasamu, kau begitu layak bergelar Eksekutif cemerlang!
Fan,
Adakalanya aku tiba-tibanya jadi tidak keruan. Keliru. Benarkah kau adalah Irfan yang pernah bersahabat baik denganku suatu ketika dulu? Benarkah di depan aku saat itu adalah Irfan bin Zaidin? Kalau benar, kenapa begitu sekali berbeza watak dan metod pemikiran mu Fan?
Kau seperti tidak lagi gemar berbicara tentang hakikat kehidupan seperti yang selalu kita muhasabah bersama sewaktu di alam kampus dulu. Waktu itu aku begitu kagum dengan pemikiran, hujjah dan ketegasan seorang Irfan apabila berbicara tentang ketuhanan, tentang keiman, masa depan umat dan tanggungjawab sebagai khalifah sebaik kita bertebaran di muka bumi seusai pengajian nanti.
“ Aku dengar kau dah buka Sekolah Tahfiz Mil. Tahniah. Sebagai sahabat aku akan sentiasa berikan sokongan. Sambil menghafaz, kita juga perlu tengok tafsirnya tu...”
“Maksud kau?” Pintasku.
“ Kita ni dah berada di era atom, zaman nuklear. Kita kena liberal sikit. Dah sampai masanya Al-Quran diolah semula. Aku dah buat kajian masa sambung master di Scotland dulu, kita kena beri tafsir baru kerana situasi kini dah banyak berubah. Banyak yang tidak selari dengan realiti zaman kini, macam ayat tentang faraid, poligami dan tentang lelaki sebagai ketua rumahtangga....”
Aku terkesima. Diam. Bukan tidak tidak ingin memberi tindak balas, Cuma sedikit terkilan.
“Al-Quran tu Kalam Allah Fan!” Kataku, ringkas.
“Mil, Kita kan di aliran sama, Cuma berbeza bidang pengajian saja. Ahli fiqh kena tengok semua tu, biar selari. Kebenaran tu tak selalunya benar dan harus dinilai semula..” Balasmu.
Aku pun tidak pasti apa sebenarnya bidang-bidang yang ditawarkan di di kolej milikmu. Cuma yang aku dengar dari mulutmu salah satunya adalah bidang perbandingan agama.
Aku amat takut Fan. Takut sangat. Aku harap kau bukan seorang intelek ciptaan orientalis. Kita tidak boleh terperangkap dan gagal menentang kelemahan kerana lemahnya kita. Ingatkah kau pada zaman kemusnahan umat terdahulu? Rosaknya Injil umpamanya kerana pertelingkahan hebat terhadap tafsirannya. Golongan penentang gereja telah meminta Injil ditafsir semula. Akhirnya kitab itu telah menjadi unsur manusiawi yang bebas difahami dengan bahasa dan fahaman tersendiri, dan boleh diubah mengikut tafsiran masing-masing.
Fan,
Sedari dulu lagi aku sedikit musykil tentang arah masa depanmu. Kau lebih memilih untuk menetap di luar negara bersama pakcikmu yang telah menetap di England. Setahuku, bukan sekali papamu memujuk kau agar dapat kembali ke tanahair membantu dia menguruskan Sekolah Islam dan Pondok Moden di daerah kelahiranmu. Katamu kau mempunyai visi hidup yang lebih relevan dengan prinsip hidupmu. Bukan itu saja Fan, sanggup pula kau menolak rasa hormat pada abangmu Fitri yang sanggup menjadi pendakwah bebas.
Aku telah membaca tulisanmu melalui risalah yang kau berikan padaku tempohari. Aku kagum Fan. Kau begitu hebat menggarap pendapat, pemikiran dan hujjah tentang kehidupan. Cuma yang membuat aku terkilan bila kau turut mencatat tentang tipisnya masyarakat Islam kini dalam memahami Islam itu sendiri.
Katamu sudah sampai masanya kini untuk golongan intelek Islam mereformasikan kefahaman cetek itu.
“Kita banyak agenda besar Mil. Umat Islam akan terkebelakang jika tak mahu berubah.” Ujarmu.
“Aku setuju Fan, kita kena berubah untuk bangkit ke arah kegemilangan seperti tamadun Islam terdahulu..”
“Bukan itu saja Mil, kita kena berada turut sama berada di pentas mereka jika ingin berjaya dan cemerlang di dunia ni....”
“Tapi, awas jangan terperangkap pula...” pintasku.
“Masyarakat kita banyak sangat berbincang di masjid, surau di majlis ceramah tenah benda-benda remeh. Yang banyak tentang ancaman Tuhan, azab kuburlah, bab auratlah, ancaman neraka dan macam-macam lagi yang semuanya hak Tuhan. Semua tu banyak sangat khilaf ulama’.”
Sekali lagi aku terkesima Fan. Suaraku terdampan di kerongkong. Aku tidak pasti samada benar-benar pendapat itu datang dari hati nuranimu atau sekadar tindak balas untuk kemusykilan lain yang sengaja ditimbulkan.
"Jadi, kau lihat metod lazim begitu sudah tidak sesuai kini?" ungkapku setelah anggukkan kepalaku terhenti. Aku bukan mengiya atau menidakkan pandanganmu Fan. Tapi aku begitu menghormati cetus mindamu, ianya telah lama sebati dengan kasih sayang dari inti persahabatan kita.
"Berlambak permasalahan umat mutakhir ni yang tak pernah selesai Mil... Sebabnya orang kita sendiri tak mahu buka akal. Terima realiti agama tanpa berusaha untuk menjenamakan semula fahaman sendiri." Tuturmu begitu menggugah nubariku Fan.
"Kalau kita hanya guna akal untuk fahami nas-nas wahyu secara konteks, bermakna kita telah tolak metodologi ilmu Islam itu sendiri Fan!" Tuturku sedikit berhujjah. Aku lihat keningmu terangkat-angkat saat itu. Aku tidak pasti apakah itu isyarat kau fahami persoalan sebenar yang ingin aku panjangkan, atau metodmu tentang dakwah memang begitu.
Fan,
Beberapa minggu lalu, aku sempat bertemu abangmu yang kini menetap di daerahku. Aku bertanyakan tentang kau. Katanya kau ada mengutusi dia sambil meminta sokongan untuk memujuk abahmu agar memberi ruang kepada kau membuka pengajian perbandingan agama di Pondok Moden milik abahmu. Betulkah Fan? Kalau niatmu betul, aku akan beristiqamah di belakangmu. Aku yakin ianya bakal merapatkan semula silaturrahim keluargamu yang setahuku agak lama kendur.
Tapi, andainya niatmu hanya untuk bertingkah dengan aliran metodmu yang sebegitu, aku sendiri tidak akan teragak-agak menjadi penentangnya Fan.
“ Islam itu agama lengkap Mil. Al-Quran dan hadis memiliki segala ciri-ciri terbaik. Kebersihan, sistem ekonomi, politik, sosial dan semuanya.” Kata abangmu.
“ Jauh sangat pandangan abang tu,” Balasku.
“ Kenapa?”
“ Abang menyamakan orang Islam dengan ajaran Islam.”
“ Maksud Syamil?”
“ Tidak semua orang Islam mahu mengamal dan menghayati Islam dengan cara terbaik bang,” tukasku.
" Abang tak pernah tolak fahaman lain Mil, tapi Islam bukan saja bersifat liberal, tapi cukup progresif dan moderat, ianya syumul dengan fitrah manusiawi tanpa perlukan acuan lain..."
Aku dan abangmu tidak sinis denganmu Fan. Islam sebenar tidak pernah meminta kita membuat kajian dan tafsiran tersendiri, lebih-lebih lagi jika semua yang kita ingin ungkapkan sudah termaktub dalam Qalam-Nya yang kekal hingga hari kemudian.
Apa gunanya kita mendabik dada dengan ketinggian ilmu dan kefahaman tersendiri jika pada masa yang sama kita ingin runtuhkan martabat ilmu itu sendiri. Wajarkah kita menolak segala yang telah dicatat dalam al-Quran dengan mata batin kita sendiri. Berupayakah kita Irfan?.
Islam yang dibawa Muhammad itu sudah lengkap Fan. Sudah mencakupi segenap bidang kehidupan. Islam juga tidak mengiktiraf wujudnya dualisme antara kerohanian dan kebendaan. Ataupun apa jua pendekatan pluralisme dan liberalisme yang boleh mengancam pemikiran umat. Agama dan kehidupan adalah yang terbaik daripada Allah. Hanya perbuatan manusia yang boleh jadi baik atau buruk yang bergantung pada niat, dan sudah pasti natijahnya bakal mewujudkan keadilan, kebaikan, kebenaran atau sebaliknya.
Fan,
Kau pun mungkin akur dengan tuduhan bahawa umat kita seringkali menuduh pendukung ilmu wahyu sebagai kelompok insan yang taksubkan ukhrawi. Dikatakan kita menolak bulat-bulat apa yang dibawa sains dan teknologi, sedangkan ianya telah banyak membawa keuntungan material kepada seluruh insan sejagat.
Padaku, tuduhan itu terlalu silap Fan, apa jua asas kemajuan duniawi kita harus terima selagi tidak mengalpakan nilai-nilai murni dan kepentingan hidup berakhlak. Kita akan rugi jika tidak mampu mengeksploitasi sains dan teknologi untuk diinteraksi sesama insan. Tetapi usah terlalu yakin dengan teori kekayaan material yang banyak mengundang kesan negatif seperti rasuah, kronisme, sombong, angkuh dan keruntuhan moral.
Pertemuan kita terlalu singkat Fan.
" Khilaf adalah rahmat bagi semua umat Muhammad Fan, kita akan kembali ke perdu dan akar fitrah untuk menemui yang haq..." Tanganmu kugenggam erat. Ada cetusan nuraniku yang yang masih tersimpan di dada yang tidak sempat kulontarkan padamu.
"Aku bukan fanatik Mil, bila kita terima agama sebagai suatu fahaman, sepatutnya tidak ada usaha untuk membantah gerakan sosialisme yang ingin keluar dari kejumudan.”
Aku fahami maksudmu Fan. Intipatinya sudah tercanai di lubuk kalbuku.
"Tapi kau juga harus tahu ramai pendukung gerakan seperti itu yang tidak mampu bergerak selaras dengan fikrah Islam..." ujarku dengan sedikit protes.
Fan,
Dalam hidup ini terlalu banyak kejahatan yang berlaku. Puncanya keangkuhan manusia sendiri. Mereka menganggap diri mereka bebas dan bukannya khalifah yang memikul amanah mentadbir alam ini. Kita perlu lebih berani Fan, berani untuk berdepan dengan segala perencanaan termasuk penyamaran yang adakalanya berselindung di sebalik metod pragmatisme dan modernisme yang kononnya progresif.
Kita perlu lebih tawaduk Fan. Merendah diri dalam apa saja pendekatan adalah nilai-nilai kebaikan yang dianjurkan agama. Ianya akan bersifat kekal dalam apa jua situasi pun. Manusia yang berkuliti pada pandangan agama ialah mereka yang mengerti dan memahami hakikat dan fungsi kemanusiaannya. Menyedari secara telus akan status diri dalam memikul amanah sebagai khalifah di bumi-Nya ini.
Akhirnya, aku mohon pada-Nya agar kau tidak sedikit pun terpesong dari jalan-Nya Fan. Kau memiliki kekuatan ilmu. Lebih tebal dan tinggi dari diri ini. Kau mampu membina konsep ketuhanan yang sebenar Fan. Kau mampu. Jika sudi, marilah bersama denganku. Kita rangkum kekuatan ilmu yang telah kita kaut di kampus dulu. Kita letakkan agama dan umat kita pada kemuncaknya yang hak.
Irfan sahabatku,
Aku masih ingat ungkap akhirmu setiap kali kita bertingkah dengan teman-teman sekuliah di Al-Azhar dulu. "Wasatiyah...wasatiyah...wasatiyah...!". tegasmu, walau pun dalam nada berkecindan, percanggahan pendapat antara kita secara automatik terhenti dan mati begitu saja bila kalimah itu dilafazkan.
Ya Fan, Kita kena kembali kepada Wasatiyah itu. Kesederhanaan perlu terus diperkasa dengan dikembalikan segala roh Islam dan peradaban hakiki umat sebuana ini. Kita tidak wajar berfahaman jumud dengan aliran tertentu, sebaliknya fahami konteks fitrah dengan bertunjangkan ijtihad dan tajdid yang betul.
Di bilik kuliah dulu, kau selalu berpegang dengan Firman Allah dari surah al-Anbiyaa', ayat 7 yang mafhumnya: ”Bertanyalah kepada yang ahli sekiranya kamu tidak mengetahuinya."
Maaf, kerana menulis catatan panjang ini buatmu. Naluriku begitu mendesak Fan. Aku mohon pengertian mulusmu. Marilah kita renung ke dalam diri, kita bina tautan mahabbah dan ukhwah serta berusaha mencari di mana dan siapa kita sebenarnya!.
Salam ukhwah, Sahabatmu, Syarzamil.

No comments: