Monday, January 11, 2010

Memarang Motosikal Bapa Sendiri

KES di atas berlaku hanya 3 kilometer dari rumah saya. Remaja Tingkatan 4 sebuah sekolah di pinggir Bandar Pasir Mas, semacam dirasuk telah tergamak menghiris tayar dan mengoyakkan pelana motosikal milik ayahnya sendiri kerana marah tidak diberikan kunci kenderaan tersebut. Tidak cukup dengan perlakuan itu, remaja tersebut kemudiannya bertindak memasukkan air paip ke dalam tangki enjin.

Si ayah hanya meraung-raung dengan kalimah ‘jangan’. Si Ibu pula hanya menjerit minta anaknya mengucap dan sabar..

Saya mungkin tersilap. Tapi, apa yang dilihat mutakhir ini, budak-budak sekarang seperti memiliki imuniti luar biasa. Mereka sudah tidak boleh disentuh dan ditegur sesiapa. Emak bapa seperti takut untuk memukul anak walaupun dengan niat mengajar kerana jika tersalah tampar, muka mungkin terpampang di suratkhabar.

Ini semua tidak berlaku zaman dahulu. Emak bapa berhak menampar anak-anak mereka sampai senget-senget. Kalau pun ada risikonya, hanya akan timbul perbalahan dengan orang tua sendiri yang mungkin memihak pada si cucu.

Kesannya? Lihatlah saban tahun kita terus melahir dan mencambahbiakkan anak-anak muda yang kerjanya ‘mengajar’ orang tua-tua. Saban waktu generasi kebal dan bebal ini sedang bertambah dengan subur – ditambah lagi dengan pelbagai unsur luar yang tidak jemu-jemu mengasuh mereka supaya jangan menjadi ‘orang’.

Budak-budak sekarang memang tidak takut pada sesiapa. Jin tanah, Pelesit, Polong, Pontianak, Pocong, toyol……, namakan aje, semuanya mereka tidak gerun.

Mereka tidak merasa takut kerana mereka sendiri adalah sebahagian daripadanya. Samalah juga mereka tidak takut mati kerana berempit mahu pun dadah. Yalah apa nak takut mati kalau sebenarnya mereka sendiri pun telah MATI jiwa raga....

No comments: