Saturday, September 26, 2009

BUANA SASTERA KITA MASIH SEMPIT

AIDILFITRI Ketiga, saya begitu berbesar hati menerima kunjungan penulis tersohor, Hashim Latiff. Kami berbicara panjang tentang dimensi sastera tanah air dulu, mutakhir ini dan nun jauh di hadapan.

"Pendukung media terutama media cetak masih melihat sastera sesuatu yang tidak membawa laba walaupun cuba dikomersialkan. Padahal aspek kebahasaan dan kesusasteraan adalah antara medium paling rapat untuk dikongsikan semua khalayak" Kata beliau.

Saya menekuni pernyataan tersebut, walaupun saya tahu Hashim bukanlah calang-calang penulis yang terus bangkit dengan karya-karya segarnya.

"Agaknya tak pernah tumbuh minat dalam diri" tambah saya.

"Itulah faktor utama yang menyebabkan bidang sastera sedikit tertolak ke belakang. Peluang dan ruang tetap ada, tinggal lagi mereka tidak mahu panjangkan kepada tangan-tangan eksekutif kerana ketiadaan minat untuk mereka luahkan apa-apa cadangan."

Saya mengangguk, tanda mengiyakan.

Sdr Hashim galak bercerita tentang beberapa buah karya cerpen terkininya yang ada yang sudah siap diedit, separa siap dan yang masih lagi tercalit pada nota catatan. Apa yang beliau ingin lontarkan pada saya begitu mengesankan walaupun masih belum disiarkan mana-mana media cetak.

Sebagai penulis sepenuh masa, dia begitu beristiqamah, tekun dan rajin menyelongkar susurgalur gelagat manusiawi yang bakal diolah menjadi cereka yang begitu bermanfaat untuk direnung, difikir dan dimuhasabah kita-kita semua. Padan benar dengan pelbagai anugerah sastera yang dia terima sepanjang bergelar karyawan.

Syukur saya melangit kerana pada saat-saat idea kering dan semangat kontang, saya segera dijirus iltizam agar melempar jauh-jauh perasaan begitu. Saya mesti terus berpena sepanjang masa selagi dikurnia kudrat!

No comments: