Monday, November 17, 2008

PAGAR PADI
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

“SUDAH-sudahlah tu Mah, kita bukannya tak biasa berkenduri besar pun. Masa si Aliya dan Azim kahwin dulu pun, bukan kecil perbelanjaan kita!” Ujar Sufian membantah. Dia tahu benar sikap isterinya itu. Rancangan awal memang bersederhana, tapi bila hampir menjelang harinya, segala bajet mula lari dari anggaran yang dibuat.
“Alah abang ni, kedekut sangat. Fiza tu anak bongsu kita bang. Abang keluar separuh saya keluar separuh!” pujuk Simah.
“Pandailah awak tu. Fiza sendiri?”
“Eh abang ni, Fiza tu kan perempuan bang. Kitalah yang bertanggungjawab untuk masa depan dia tu.” Balas Simah cepat-cepat.
“Itu saya tahu. Kan dia dah kerja.”
“Kerja apa sangatlah bang, Operator kilang aje. Lagi pun masa nilah kita nak perkenalkan keluarga kita bang. Biar Pak Saad dan Kak Bedah kat kampung tu tahu, kita ni berbeza status dengan dia orang!”
“Awak ni Simah, tak habis-habis, nak berada saf depan aje!” Ngomel Sufian sambil menjeling sinis ke arah isterinya itu.
Fikiran Simah menerawang jauh. Senyum bersimpul di bibir. Dia dapat bayangkan betapa meriahnya perkahwinan anak bongsunya tu nanti. Maklumlah ini mungkin kenduri kahwin terakhir dalam hidup dia dan suaminya. Sebab itulah dia beriya-iya benar mahu sediakan yang terbaik. Biarlah dia sekeluarga berhabisan sikit kali ini.
Dua bulan akan datang, syarikat kosmetik tempat dia bekerja akan memberikan durian runtuh kepada seluruh kakitangan. Dia sudah berkira-kira lantaran bonus yang bakal diterimanya agak ‘lebat’ juga, sesuai benar dengan jawatan eksekutif yang disandangnya sejak lapan tahun lalu. Campur dengan bajet suaminya nanti, kira memadai untuk belanja keseluruhan!.
Namun, sesekali dia rasa sedih juga. Terkilan pun ada. Bila dah habis belanja besar. Anak menantu hilang dari mata. Aliya anak sulungnya, dah menetap di Brunei mengikut suami. Azim dan isterinya pula walaupun menetap di Kuantan, bukannya selalu balik. Sibuk dengan firma guaman yang mula berkembang. Cuma Fiza yang agak kerap dapat bersamanya, anak bongsunya tu sejak umur lima belas tahun tinggal di kampung bersama datuknya, Pak Mahat.
Simah bukannya malas untuk menjaga Fiza, tapi sewaktu Fiza berada di Tingkatan Empat, macam-macam kes jenayah yang berlaku di sana-sini. Murid-murid sekolah terutama murid perempuan banyak yang jadi mangsa kes rogol, cabul, culik dan ugut serta tak kurang pembunuhan.
Simah terlalu bimbangkan Fiza. Dia berpakat dengan Sufian untuk menghantar Fiza tinggal bersama datuknya di kampung. Simah dan Sufian merasa lebih selamat jika Fiza sambung persekolahan di kampung. Dua minggu sekali mereka balik ke kampung mengambil Fiza. Tapi sewaktu Fiza di Tingkatan Lima, mereka hanya sempat balik hanya sebulan sekali memandangkan kesibukan kerja yang membatasi peluang dia dan suaminya untuk bercuti. Ada waktunya Fiza akan balik sendirian menggunakan bas atau teksi.
“Abang, saya bercadang nak raikan ayah dalam satu majlis khas. Saya nak berikan sesuatu sebagai tanda terima kasih kita pada dia kerana jaga Fiza selama beberapa tahun ni, macam mana, abang setuju tak?”
“Suka hati awaklah Mah, dia kan ayah awak.” Balas Sufian.
“Abang ni macam tak suka aje. Ayah tu dah banyak berkorban untuk kita.” Tingkah Simah.
“Bila pula abang kata tak suka. Eloklah kalau awak dah rancang macam tu...”
Tinggal beberapa bulan saja lagi Fiza bakal dijodohkan dengan Faris, anak Pak Sad dan Kak Bedah yang sudah dua tahun mengggotai pasukan tentera darat. Simah hanya menghitung hari. Sufian pula macam lazimnya, tidak difikirkan sangat hal tersebut kerana masalah syarikat binaannya adalah yang teratas.
“Kamu ni Fiza, mama tengok macam tak ceria aje, apa hal ni?” Tanya Simah.
“Eh mak ni, takkanlah Fiza nak tersengih-sengih dan melompat-lompat pulak!”
“Bukanlah macam tu, tapi kamu ni tak macam orang lain. Kamu kan dan kenal dengan si Faris tu...”
“Kenal tu kenal mak, tapi sebelum ini Fiza memang tak pernah jumpa dan bercakap pun dengan dia!”
“Alah, kamu terima ajelah Faris tu. Lagipun maknya tu masih ada hubungan saudara dengan keluarga belah mama kat kampung. Dia yang beriya-iaya benar tanyakan Fiza dari atuk.” Ujar Simah sambil mengelus-ngelus rambut Fiza yang ikal.
“Fiza tak kisah mama. Fiza pun memang dah lama nak berhenti kerja, Fiza nak berdikari, nak tinggal sendiri. Kalau dah sampai masa untuk berkeluarga, Fiza tak kisah!” Ujar Fiza, matanya merenung dalam anak mata Simah.
“Nanti, mama nak Fiza berikan hadiah istimewa untuk atuk yang selama ini menjaga Fiza kat kampung!”
Fiza mengukir senyum hambar. Seketika kemudian dan menghampiri Simah lalu memeluk tubuh mamanya itu.
Petang Sabtu minggu ketiga. Simah dan Sufian berjalan keluar dari kedai emas. Menempah tiga jenis barang kemas untuk perhiasan badan anak perempuan bongsu mereka pada hari perkahwinannya nanti. Simah hanya senyum memanjang. Sufian bagaikan pengawal peribadi, mengikut aje ke mana Simah hendak pergi.
“Abang ni bimbang juga Mah...”
“Bimbang pasal apa pulak bang?” Simah menduga.
“Dalam masa terdekat ni dah berapa kali dia orang berjumpa. Yelah nak kenal hati budi masing-masing.”
“Anak kita budak baik bang. Saya yakin si Faris tu takkan ada masalah nanti!”
Sufian terus diam. Dia harap kenyataan isterinya itu adalah yang terbaik untuk Fiza dan keluarga yang bakal dibina.
Untuk terima bakal menantu kali ini, Simah agak tenang dan tidak banyak soal selidik. Tidak seperti kepada dua menantunya yang lepas. Mungkin juga sebab Fiza tak ada kelulusan tinggi dan hanya pekerja kilang.Sekali ayahnya mencadangkan si Faris anak Encik Saad dan Kak Bedah, langsung saja dia menerimanya.
Tinggal tiga minggu lagi Fiza bakal bergelar raja sehari. Pagi itu Fiza meminta izin untuk balik ke kampung. Dia membawa surat perletakkan jawatan untuk diserahkan kepada pengurus kilang di pekan.
“Nanti petang beritahu atuk, Fiza nak balik ke sini. Esok mama dan bawa Fiza ke bandar. Kita kena belikan apa-apa barang yang masih tak ada.
Fiza hanya memandang tepat ke arah Simah tanpa suara, tetapi mengangguk perlahan-lahan kemudiannya.
Terdetik juga dalam hati Simah. Apa kena pula dengan anaknya itu? Perangai tiba-tiba saja berubah. Mukanya kusam dan pucat. Tak ada seri langsung seorang bakal pengatin.
Ah!, perkara biasalah tu, pujuk hati Simah. Barang kali demam dara nak naik pelamin. Dah sampai harinya nanti pastinya badan yang lemah kembali kebah!.
Kalau Fiza tidak mahu menerima Faris, takkanlah dia diam saja masa dilamar tempohari?. Orang yang diam, tandanya setuju. Simah pun faham, jiwa anak bongsunya tu. Dia memang mudah lemah semangat. Tambah-tambah soal berat macam ni. Barangkali dia bimbang takut tidak mampu menjadi isteri yang baik untuk bakal suaminya nanti, fikir Simah lagi.
Petang itu senyum Simah melebar sewaktu membelek-belek tiga kotak kad jemputan yang tiba di rumahnya. Kad itu ditempah khas dalam versi istimewa tiga warna. Dengan keharuman mawar bersama alunan muzik.
Semua saudara mara terdekat sudah dihubunginya. Kad sudah separuh diserahkan. Teman-teman yang jauh dan tak sempat diziarah dihubingi dengan kemudahan teknologi. Telefon, faksimili dan emel.
Simah mengambil cuti dua minggu lebih awal bagi melangsaikan apa yang patut. Dia tidak suka meminta bantuan orang lain. Bimbang tidak dapat memuaskan hatinya.
Encik Saad dan Kak Bedah pati terbeliak biji mata melihat persediaan yang dibuatnya. Dia tak kisah majlis yang bakal dibuat pihak lelaki. Yang penting di pihaknya dia tidak takkan jatuh saham.
Enam hari sebelum tiba hari yang ditunggu, dia menerima panggilan telefon dari Kak Bedah. Bagai dipanah petir jantan, tiba-tiba nafas menjadi sesak. Sufian cuba menenangkan isterinya yang mula tersesak-esak.
“Bawa bersabar Mah...”
“Nak bersabar apa bang. segala persiapan dan saya buat. Senang-senang pula mereka nak putuskan...”
“Kan mereka dah jelaskan!”
“Saya tak puas hati bang...”
Petang itu Simah dengan dada kosong dan perasaan yang murung bertolak ke kampung. Hati Simah berkecamuk. Gelodak dalam dadanya kian membengkak. Hatinya sedang membusung dengan rasa marah, kecewa, hampa, sedih dan hiba.
Sampai tiba di rumah Tok Mahat, ada dua tiga orang kampung sedang mundar-mandir di beranda. Salah seorang dari mereka menghampiri Sufian lalu membisikkan sesuatu.
“Betul ke ni?” Tanya Sufian, terkejut. Mereka hanya mengangguk.
Simah faham benar panas baran ayahnya itu.
“Aku akan bunuh budak bedebah tu kalau dia tak jadi juga kahwini Fiza!” Mata Tok Mahat merah menyala. Mukanya seperti udang kena bakar.
“Banyak-banyak sabar ayah. Saya faham perasaan ayah tu. Kami berdua ni lagi malu ayah. Kami ni ayah dan mak dia!”
“Aku tak mahu Fiza jadi sepah yang kena buang!”
Simah dan Sufian saling berpandangan.
“Ayah tentu malu sangat tu bang, dia yang beriya-iya benar dan jodohkan Fiza dengan Faris tu hah!”
“Malu sekalipun, kita kena berbincang, tak boleh ambil tindakan melulu. Ni sampai nak berparang pulak!”
Simah diam. Hatinya kian diamuk resah. Sudahlah dalam keadaan menjadi haru-biru, Fiza anak perempuannya pula keluar dari rumah Tok Mahat selama dua hari dan tidak balik-balik.
“Akak minta maaf banyak-banyak Simah, Sufian. Akak tak dapat buat apa-apa. Ini keputusan abang Saad dan Faris sendiri. Maknanya ianya dah jadi keputusan kami sekeluarga....”
“Tapi.... tapi kenapa Kak Bedah. Malu saya macam ni. Anak-anak kita macam mana? Kalau mereka dan terlanjur sekalipun, kita kena tanggung semuanya.”
“Susah akak nak cakap Simah. Faris tak macam tu.Serba-salah akak ni. Akak kesal Simah. Akak kesal sungguh!”
Simah dan Sufian makin keliru. Apa sebenarnya yang terjadi?
Perbualan mereka terhenti bila telefon bimbit Sufian berdering.
“Sapa bang?”
“Fiza”
“Hello, Fiza. Ini papa sayang.....” Tiba-tiba Sufian terhenti bicara. Dia seperti mengamati suara Fiza.
“Kenapa bang, kenapa dengan Fiza bang?” Kali ini pertanyaan Simah mula diiringi esakkan. Dia menggoncang-goncang lengan Sufian.
Sewaktu dalam balik dari rumah Kak Bedah menuju rumah Tok Mahat, Simah dan Sufian berselisih dengan sebuah peronda polis yang keluar dari jalan anak ke rumah Tok Mahat. Simah dan Sufian saling berpandangan.
Sesampai di laman, Fiza yang berada di tepi sebuah kereta meluru mendapatkan Simah dan Sufian. Tangisannya kedengaran di mana-mana. Ada sekumpulan orang kampung berada di situ.
“Maafkan Fiza ayah, mama. Fiza dah tahan. Fiza....Fiza....” Sedu-sedan Fiza makin kuat, air jernih kian laju menuruni pipinya.
“Kenapa ni nak, kenapa jadi macam ni Fiza?” Raung Simah sambil memeluk anak perempuan bongsunya itu. Tangisan demi tangisan silih berganti.
Keesokkan harinya, Sufian beberapa kali menatap akhbar Harian Nasional. Matanya tancap kepada tajuk utama di laman depan.
‘Datuk berlagak alim, ratah daging cucu sendiri.’
Dia melemparkan pandangan jauh ke laman rumahnya. Sufian hanya mampu mengeluh dan beristighfar panjang.

No comments: