Thursday, November 4, 2010

GERIMIS DI HATI

....DAN begitulah, dalam jera lelah, saya rafakkan maha syukur kepada yang Maha Tinggi kerana walau tanpa perteduhan, alhamdulillah saya masih dapat tangani ronta jiwa lara yang basah kuyup disimbah durga sejak awal musim. Tempiasnya merajalela ke setiap penjuru langkah.

Sejurus hilang rasa pahit dan loya bahana dirembat keletihan di padang datar, saya beradu di ladang diri, meski masih menitis gerimis di hati!

Sudah dua hari saya mulakan langkah ke tempat bertugas dengan dugaan musim tengkujuh. Bayangkan, ketika orang lain sedang nyenyak di kamar, seawal jam 3.50 saya sudah turun dari rumah. Mengharungi air hujan yang berada pada paras hampir sedikit ke bawah lutut menuju ke stesen KTM Pasir Mas.
Beginilah nasib seorang pendidik seperti saya. Namun, bila pelbagai baur perasaan menerjah, cepat-cepat saya beristighfar. Saya perlu lebih kuat, kerana pelbagai dugaan telah berjaya saya rempuhi sejak berbulan sudah. Apakah dengan sedikit lagi durga, saya harus kembali longlai….
Kepahitan telah beransur hilang. Saya telan kedukaan yang menjengah meskipun masih ada sisa-sisanya terdampan di kerongkong. Dengan limpahan hikmah dan rahmat-Nya saya tidak mampu rebah untuk mengalah.

Barangkali jika tidak berada pada kondisi sekarang, saya tidak mampu untuk menjamah Rejab dan Syaaban lalu dengan beriftar pada setiap hari. Sehingga ke waktu ini pun, saya cukup tenang dengan rutinan puasa pada ‘hari-hari putih’ dengan lebih beristiqamah. Lebih membahagiakan, dahi ini dapat pula menyentuh sejadah pada setiap awal pagi sebaik bersiap siaga ke tempat bertugas. Bertahajjud dan bertaqarrub!
Namun, saya masih tidak berputus hampa, doa yang telah saya panjatkan telah bertemali. Moga ianya sedia untuk disulam atau menjahit kebahagiaan ini yang telah sedikit koyak pada musim lalu!.

Tuesday, September 7, 2010

TINTA KARYA DI PENGHUJUNG RAMADAN
1.Artikel Ihya' Ramadan - Menyempurnakan Zakat Fitrah
(Utusan Malaysia, 7 September 2010)

2. Sajak 'Ratib Perjuangan'
(Sastera Berita Harian, 4 September 2010)

3. Sajak 'Roh Ramadan'
(Harian Metro, 7 September 2010)




Friday, September 3, 2010

ADUHAI GADIS PENGEMIS

BARANGKALI sudah hampir sepuluh tahun saya tidak menggunakan perkhidmatan bas awam untuk ke mana-mana destinasi dalam negeri. Sesekali turun ke ibukota pun saya selalunya menggunakan keretapi sebagai pilihan utama. Sekiranya ada tugasan dan urusan lain di bandar Kota Bharu, jika malas memandu kereta, saya kira untuk lebih mempercepatkan urusan, saya sering bermotosikal. Dalam situasi sekarang pula, saya sememangnya terpaksa menggunakan tren Shuttle KTM pada setiap hari untuk ke tempat bertugas di ulu negeri.

Bukan berkaitan tahap khidmat pengangkutan awam yang ingin saya catatkan, tetapi tentang kerenah empat orang gadis Myanmar (agak saya) sewaktu saya menggunakan khidmat bas City Liner untuk pulang ke Pasir Mas dari stesen SKMK Tanah Merah pada Khamis minggu lepas.

Bukan saja tidak menghormati ramai penumpang yang berpuasa, empat orang gadis Myanmar tersebut sememangnya cukup ‘biadap’ dengan bulan Ramadan yang masih bersisa ini. Dua orang daripada mereka saya kira sudah berusia remaha (sekitar 16-18 tahun), dua orang lagi pula masih berusia bawah 12.

Dengan berbaju kurung dan bertudung, mereka tanpa rasa segan silu ‘meratah’ keropok ubi potato jacker tanpa mempedulikan para penumpang yang berpaling kea rah mereka yang duduk di kerusi belakang.

Bukan sahaja makan dengan lahapnya, mereka juga berborak dan ketawa dengan nada suara yang kuat. Sesekali seorang dari mereka menanggalkan tudung, menguraikan rambut yang kusut dan memakainya semula.

Saya tidak fikir keempat mereka tidak beragama Islam, memandangkan di sisi salah seorang dari mereka, terdapat satu bungkusan plastik yang mengandungi ma’thurat dan Yasin. Itulah rutin mereka ini yang dapat dilihat di Bandar-bandar utama di Kelantan. Meminta derma sambil menghulurkan salah satu dari dua buah buku kecil kepada sesiatersebut kepada sesiapa saja tanpa mengira situasi dan masa.

Sia-sia sahaja derma yang diberi. Ini kerana mereka bukan sahaja menggunakannya untuk bergerak dan merayau menaiki kenderaan awam ke sana-sini tanpa hala tuju, tetapi juga menyalaghunakan wang pemberian orang ramai tersebut dengan membeli makanan dan minuman ketika semua orang menjalani ibadat puasa.

Saya terfikir juga, adakah mereka ini datang secara berkeluarga untuk mengemis di Negara ini? Atau merekah inikah antara yang terlibat dengan sindiket yang sengaja diperah tenaga mereka untuk kesenangan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab?

Saya menyokong usaha dan langkah pihak berkuasa untuk menahan pengemis-pengemis ini. Usah dibiarkan mereka terus berlagak, sombong, tidak peka dengan situasi setempat dan menikmati keharmonian dan kemewahan yang dimiliki tanahair tercinta ini dengan sikap bodoh dan tidak beradab ini!
ARTIKEL RAMADAN 1431H


Monday, August 23, 2010

Wednesday, August 11, 2010

'GERHANA MANUSIA'

(disiarkan majalah WANITA edisi September 2010)





Thursday, August 5, 2010

MENYULAM REZEKI

Saya rafakkan maha syukur seluas lautan. Kasturi di kolam takdir semerbak mewangikan kamar hidup seusia ini.

Atas segala sifat kesempurnaan ar-razzaq-nya, saya terus dikurniakan rezeki berganda. Awal Julai lalu, saya dipilih memenangi salah satu hadiah dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) Exxon Mobil 2009 untuk karya cerpen ‘Khilaf’.

Semalam, alhamdulillah, rezeki-Nya masih milik saya. Saya ke pentas APC (Anugerah Perkhidmatan Cemerlang) buat kali keduanya, sejak memikul amanah berat dalam dunia perguruan ini.


Terima kasih kepada semua rakan, staf pentadbir dan seluruh mantan anak-anak didik terkasih di SK SIE atas anugerah ini. Tak lupa kepada pengurusan PIBG (terutama Pn Noor Fariza) yang selama ini banyak menyokong tugasan saya sebagai Setiausaha selama lebih empat tahun.

Biarpun masih sebak dengan kejauhan ini, Segalanya seolah-olah disulam terka dengan benang tamakninah yang paling puncak. Dialah Khaliq yang Khalid. Tidak pernah terjangkau oleh makrifat kita atas segala punca musibah, rezeki dan dugaan untuk kita muhasabah dengan nubari sendiri.

Segalanya membuatkan tafakur saya menjadi bertemali, memikir-mikir tentang inayah dan kurnia, bukan medium bujukan lagi. Namun, seperti yang telah termaktub di perdu tatkala iklim diri yang sedikit berubah kini – demikianlah benarnya janji-Nya yang haqnya adalah pasti!