Thursday, November 4, 2010

GERIMIS DI HATI

....DAN begitulah, dalam jera lelah, saya rafakkan maha syukur kepada yang Maha Tinggi kerana walau tanpa perteduhan, alhamdulillah saya masih dapat tangani ronta jiwa lara yang basah kuyup disimbah durga sejak awal musim. Tempiasnya merajalela ke setiap penjuru langkah.

Sejurus hilang rasa pahit dan loya bahana dirembat keletihan di padang datar, saya beradu di ladang diri, meski masih menitis gerimis di hati!

Sudah dua hari saya mulakan langkah ke tempat bertugas dengan dugaan musim tengkujuh. Bayangkan, ketika orang lain sedang nyenyak di kamar, seawal jam 3.50 saya sudah turun dari rumah. Mengharungi air hujan yang berada pada paras hampir sedikit ke bawah lutut menuju ke stesen KTM Pasir Mas.
Beginilah nasib seorang pendidik seperti saya. Namun, bila pelbagai baur perasaan menerjah, cepat-cepat saya beristighfar. Saya perlu lebih kuat, kerana pelbagai dugaan telah berjaya saya rempuhi sejak berbulan sudah. Apakah dengan sedikit lagi durga, saya harus kembali longlai….
Kepahitan telah beransur hilang. Saya telan kedukaan yang menjengah meskipun masih ada sisa-sisanya terdampan di kerongkong. Dengan limpahan hikmah dan rahmat-Nya saya tidak mampu rebah untuk mengalah.

Barangkali jika tidak berada pada kondisi sekarang, saya tidak mampu untuk menjamah Rejab dan Syaaban lalu dengan beriftar pada setiap hari. Sehingga ke waktu ini pun, saya cukup tenang dengan rutinan puasa pada ‘hari-hari putih’ dengan lebih beristiqamah. Lebih membahagiakan, dahi ini dapat pula menyentuh sejadah pada setiap awal pagi sebaik bersiap siaga ke tempat bertugas. Bertahajjud dan bertaqarrub!
Namun, saya masih tidak berputus hampa, doa yang telah saya panjatkan telah bertemali. Moga ianya sedia untuk disulam atau menjahit kebahagiaan ini yang telah sedikit koyak pada musim lalu!.