Thursday, July 29, 2010

NARWASTU SYAABAN

MELIMPAH syukur sebaik nafas dapat dihembus setiap awal pagi. Menanti hadirnya serakan sinar mentari, usai bersuci, lazimnya saya hanya bersahurkan segelas milo kosong dengan beberapa biji tamar. Tekak tidak begitu berselera untuk menjamah makanan lain, mungkin kerana waktu sahur yang terlalu muda (sekitar jam 3.40-3.50 pagi). Hari ini sudah masuk hari ke-19 puasa sunat Syaaban saya raikan bersama keluarga.


Jam 4.00 pagi saya sudah tercegat di stesen KTM, 15 minit kemudian menaiki tren shuttle ke tempat bertugas di hulu negeri. Alhamdulillah, barangkali satu lagi hikmah-Nya saya ‘dilempar’ jauh ke daerah ini. Rasa penat berpuasa meskipun jauh berulang alik dengan tren dan motosikal setiap hari seperti tiada langsung. Nurani dapat merasakan, saya lebih beristiqamah melakukan ibadat sunat tersebut berbanding sebelum ini.

Sudah beberapa kali saya beriftar di dalam koc kerana terpaksa menaiki tren kedua yang dua jam lewat atas tuntutan tugas hingga lewat petang.

Namun, saya tidak merasa sedikit pun rasa rimas, bahkan lebih tenang walaupun sentiasa hidup dikejar dan mengejar masa.

Barangkali, Inilah Narwastu Syaaban yang belum pernah menyerbak ke indera saya sejak sekian lama. Benarlah, kata teman-teman, Tuhan tidak pernah berhenti menyiram hikmah dan rahmat-Nya walaupun pada masa yang sama kita diduga dengan hempedu ujian yang begitu pahit untuk ditelan!

Sunday, July 11, 2010


PENGHARGAAN HSKU YANG MELANGIT

Hari ini saya (10 Julai 2010) berlabuh di Ibu Kota buat beberapa ketika. Berbaur antara rasa teruja dan bangga. Alhamdulillah, kali ini giliran saya menjejak langkah ke pentas HSKU 2009. Tidak seperti judul cerpen saya yang terpilih, buat detik ini saya tiada kekhilafan untuk memilih arah meniti sisa-sisa usia yang dianugerah.


Pentas Panggung Sari Istana Budaya telah memartabatkan buah pena saya ini. Terima kasih panel yang memilih, terima kasih Ku Seman (editor MM yang baik), terima kasih penaja anugerah, terima kasih Kumpulan Utusan!



‘Khilaf’ terlalu istimewa buat saya. Ia adalah rakaman catatan sahabat baik yang benar-benar berada dalam situasi ‘khilaf’ itu sewaktu pengajiannya. Dengan sedikit olahan maka saya hasilkan khilaf, dedikasi buat sahabat saya itu yang pernah terkhilaf jalan hidupnya dan pastinya tidak lagi kini.

Terima kasih atas ucapan tahniah melalui sms, emel, talian dan di facebook dari seluruh mantan anak murid, mantan teman-teman sejawat, rakan penulis dan rakan taulan yang begitu prihatin. Moga-moga ianya membenih doa untuk kejayaan masa-masa mendatang.

Moga tiada yang terkhilaf dengan saya!
MENGEJAR DAN DIKEJAR MASA

Sudah beberapa minggu blog ini tidak berisi entri baru. Kalau hari bekerja, saya bagaikan lipas kudung. Berpagi sejak jam 3.15. Berada dalam tren hampir 6 jam sehari untuk pergi dan balik ke tempat bertugas. Penat, hanya Dia yang tahu. Penat fizikal mungkin tidaklah begitu terasa, yang lelah sudah pasti minda dan jiwa.

Tak mengapalah. Segala-galanya sudah saya pasrahkan atas landasan takdir dan suratan. Saya sudah akur. Biarlah detik masa yang menentukan segala-galanya. Saya sudah melangsaikan tugasan sebagaimana jadual yang diberi.

Keterkilanan kini bukan lagi kerana dipaksa dan terpaksa menerima kejauhan ini, tetapi hanya sedikit minimumnya masa untuk keluarga, berpena dan menjahit ukhwah di lama FB yang menghimpunkan begitu ramai mantan anak murid dan teman-teman yang telah lama hilang di mata!

Sehinggalah saya menerima sms kemenangan saya di Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) Exxonmobil pun terabai beberapa ketika. Seorang teman di ibukota meyakini saya akan kemenangan itu biarpun saya tidak pernah menaruh harapan. Melihat senarai akhir di akhbar saya semakin goyah rasa yakin, ramai lagi penulis besar yang layak naik ke pentas berprestij itu. Syukurlah, ini rezeki kedua saya di HSKU!