Saturday, January 30, 2010

WAN MUHAMMAD ADEEB IQBAL







BERTAMBAH lagi umat Muhammad. Bertambah meriah jualah situasi dalam famili saya yang bakal dipenuhi rencahrasa hidup yang bervariasi. Bukan saja kelahiran permata hati untuk kesekian kalinya ini bakal merubah waktu makan, waktu tidur, waktu bersiap siaga setiap awal pagi, malah waktu beristirehat saya sefamili juga bakal beradun dengan segmen yang pelbagai.

Semuanya harus diatur dan disusun sebaik-baiknya. Kalau boleh tiada khilaf yang mencelah. Saya begitu teruja untuk meneruskan sisa-sisa usia yang berbaki untuk melangsaikan amanah dan tanggungjawab berkeluarga sebagaimana tuntutan syariat.

Moga-moga bukan saja semua permata hati saya dipilih bersemayam di tahkta syurgawi, malah saya dan zaujah akan terus tenang dan damai untuk sebuah pengabdian di pinggir ukhrawi.



aku ingin sematkan bunga,
sekuntum pada telingamu
agar matamu yang hitam itu semakin bercahaya

Bunga-bunga liar di rumputan
padang terbuka
mungkin tak sewangi geriap rambutmu
pada angin
menyentuh wajahku.

Wednesday, January 27, 2010





HARIAN METRO, 26 Januari 2009.

Sunday, January 24, 2010


MINGGUAN MALAYSIA
Ahad, 24 Januari 2010

Thursday, January 21, 2010

SATU UNDI TENTUKAN MASA DEPAN NEGARA


Wednesday, January 20, 2010

MERAFAK CINTA

Satu waktu di perdu senja
Telah aku temui sepohon tamsil cinta
Tegak utuh di batas berkat
Subur membugar di ladang munajat

Akarnya menjalar ke liang nurani
Mencengkam kudrat di tanah diri

Batangnya mampat mendekap jasad
Melindung jiwa berbumbung firasat

Rantingnya memaut dahan fitrah
Mengikat akal diragut gundah

Daunnya menghadang pesona nafsu
Terhijab naluri dilindung malu

Buahnya meranum setia dan taat
Manisnya mengalir ke ujung makrifat.


Dataran Air Muleh, 6.30 petang, Januari 19.

Monday, January 11, 2010

Memarang Motosikal Bapa Sendiri

KES di atas berlaku hanya 3 kilometer dari rumah saya. Remaja Tingkatan 4 sebuah sekolah di pinggir Bandar Pasir Mas, semacam dirasuk telah tergamak menghiris tayar dan mengoyakkan pelana motosikal milik ayahnya sendiri kerana marah tidak diberikan kunci kenderaan tersebut. Tidak cukup dengan perlakuan itu, remaja tersebut kemudiannya bertindak memasukkan air paip ke dalam tangki enjin.

Si ayah hanya meraung-raung dengan kalimah ‘jangan’. Si Ibu pula hanya menjerit minta anaknya mengucap dan sabar..

Saya mungkin tersilap. Tapi, apa yang dilihat mutakhir ini, budak-budak sekarang seperti memiliki imuniti luar biasa. Mereka sudah tidak boleh disentuh dan ditegur sesiapa. Emak bapa seperti takut untuk memukul anak walaupun dengan niat mengajar kerana jika tersalah tampar, muka mungkin terpampang di suratkhabar.

Ini semua tidak berlaku zaman dahulu. Emak bapa berhak menampar anak-anak mereka sampai senget-senget. Kalau pun ada risikonya, hanya akan timbul perbalahan dengan orang tua sendiri yang mungkin memihak pada si cucu.

Kesannya? Lihatlah saban tahun kita terus melahir dan mencambahbiakkan anak-anak muda yang kerjanya ‘mengajar’ orang tua-tua. Saban waktu generasi kebal dan bebal ini sedang bertambah dengan subur – ditambah lagi dengan pelbagai unsur luar yang tidak jemu-jemu mengasuh mereka supaya jangan menjadi ‘orang’.

Budak-budak sekarang memang tidak takut pada sesiapa. Jin tanah, Pelesit, Polong, Pontianak, Pocong, toyol……, namakan aje, semuanya mereka tidak gerun.

Mereka tidak merasa takut kerana mereka sendiri adalah sebahagian daripadanya. Samalah juga mereka tidak takut mati kerana berempit mahu pun dadah. Yalah apa nak takut mati kalau sebenarnya mereka sendiri pun telah MATI jiwa raga....