Monday, November 23, 2009



TUGASAN CUTI
Usai berhujung minggu bagi meraikan walimah adik ipar di kampung, saya kembali menyambung tugasan rasmi sebagai pengawas SPM 2009.

Hari ini masuk hari keempat saya menyusuri jalan utama ke Rantau Panjang, sebelum membelok ke Bukit Tandak dari Simpang Salam. Beberapa kilometer selepas melewati perkampungan Kubang Kuau tibalah saya di perkarangan SMK Baroh Pial yang tersergam.

Agak bernasib baik, biarpun masih dalam edah tengkujuh, tiada kawasan rendah yang ditenggelami air sepanjang jalan menuju SMKBP.

Saya tumpang berdukacita dengan teman-teman setugas di SMK Rantau Panjang yang terpaksa menaiki trak Polis dan Bomba menuju sekolah tempat bertugas. Sebaik tiba, langkah diatur meranduk air bah yang melimpah sehingga sampai di dewan peperiksaan.

Justeru, apa lagi yang harus disunguti. Akur, redha dan pasrah demi melangsai amanah di musim hujan begini. Kelaziman inilah yang perlu dirempuh dan ditempuh dengan jiwa yang ampuh!



Sunday, November 15, 2009

SEPI
Sepi
Menyusup ke dalam diri
mencari makna
Kehidupan hakiki

Sepi
Mengikat akal dan hati
Taqarrub pada Ilahi
Sebelum mati

Terima kasih sepi
Dalam sunyi
Telah kukenal diri!


-Disiarkan dalam sudut Sastera, MINGGUAN MALAYSIA, Hari ini, AHAD 15.11.2009.

Thursday, November 12, 2009

MENANTI ESOK
Telah disiarkan majalah SOLUSI isu 13- Disember 2009

Monday, November 9, 2009

Suara dari nyali sukma

Angin basah malam ini
Melontar hanyir darah dan tulang ke segenap susuk ruang
Melampias wangi akar liat pohon pelawan
Yang tiba-tiba hilang semerbaknya

sesekali dibelenggu nestapa
terasa begitu gamang membanting akal
tersepit di satu tikungan
buntu mengimbang langkah
menuju aspal yang jauh.

Detik purnama ini, ingin sekali menyelami
Segala catatan yang lahir dari lelah batiniah
Saat titik bening sudah bertakung di pelupuk mata
Doa segera dipacak ke puncak
Menanti sapaan semilir
Deru muhasabah
membelai nyali sukma yang getir.

Disiarkan dalam Sudut Sastera BERITA HARIAN, Sabtu 7 Nov. 2009.

Friday, November 6, 2009

Menunggu dijemput ke bumi Haramaian

Ada waktunya terbawa hingga ke dalam mimpi. Melihat dan mendengar khabar sekeliling, dari cerita lisan, paparan di media cetak dan melihat dengan mata di skrin TV, saya segera didamba rindu untuk turut sama dijemput ke bumi Haramain. Tanah Haram dan kota Gemilang al-munawwarah serasa melambai-lambai di kelopak.....

Menanti seru atau apa jua jalan jika dijemput nanti, saya berserah segala-gala atas ketentuan-Nya. Setiap detik saya puncakkan pengharapan, moga akan diberi kesempatan, melerai sebuah dambaan sebelum dijemput pulang!.