Monday, October 26, 2009



Aduhai MPTAA!

Foto ini telah lama tersimpan dalam album lama milik saya.
Nostalgia pantas menggamit jiwaraga setiap kali menyusuri jalan sepanjang pekan Kuala Lipis yang berbukit apabila sesekali turun ke ibukota.

Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Pahang gah berdiri di atas perbukitan yang menghijau di sekitarnya.

Namun, bukan di perbukitan tersebut saya dan rakan-rakan ambilan 1994-96 didewasakan sebagai guru pelatih. Tinggal kenangan. Kampus asal di Semambu, Kuantan kini sudah pun diambil alih Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS) sejak lebih empat tahun lalu.

Apa khabar Izan, Rozuari, Marona, Zahar, Rohadi, Zulkarnain, Kak Midah, Salihatun, Kak Yong dan ramai lagi teman-teman sekuliah Pengajian Islam?? Di mana kini kalian menabur budi dan bakti? Kecuali Jalil (kini mak andam), Isoura, Zahir, Ali dan Azhar Jebeng yang masih belum putus tali berhubung. Ada waktu sms dan blog ini menjadi medium pelerai rindu hidup sekampus selama 6 semester.

Hanya BUDI AFZAN- buah tangan Biro Penerbitan yang didokongi saya dan Isoura menjadi penawar tatkala rindu menggigit minda!
Wahai semua teman, mari kita alunkan lagu tema MPTAA yang pernah membakar kemarahan kita (kerana tersalah sebut sukukata dan irama sebenar) sewaktu Minggu Silaturrahim – Julai 1994!!
Dari bumi Pahang Darulmakmur
kami penuntut berikrar
mendidik membimbing penuh usaha
membina negara jaya
tetap mengamal Rukunegara
agar hidup kita bahagia
bersatu pasti akan berjaya
untuk nusa juga bangsa
dengan semangat waja
kami terus berjuang
rela kami berkorban
itu sumpah tercipta
berilmu tinggi penuh di dada
berakhlak mulia sempurna
beramal bakti hidup berjasa
MPTAA berjaya...

Tuesday, October 20, 2009














PERIHAL SEJADAH 'BERDIRI' SENDIRI

Sebagaimana kupasan Ust Fauzi Mustafa; Tiga faktor untuk kita merenung dan berfikir-fikir atas apa yang berlaku di SK Tok Sangkut Pasir Mas pada pagi tadi:

i- Ianya perbuatan tidak senonoh individu yang berniat untuk melakukan sesuatu yang boleh menggemparkan orang ramai.

ii- Ianya adalah perbuatan Syaitan atau Jin.

iii- Ianya benar-benar berlaku atas kekuasan Allah yang mampu menzahirkan apa jua fenomena pelik sebagai peringatan, renungan dan peluang untuk kita semua bermuhasabah diri, lebih-lebih lagi dalam usia maya pada ini yang semakin tua!

Wednesday, October 14, 2009

DARI KACA JENDELA
(nostalgia Bengkel Bahan Dakwah SPI Kelantan 2009)


Ada suara menusuk ke cuping
Dalam desir bayu, ombak Batu Burokmu persis membisik
Pulanglah ke dalam diri
Selongkar dan terobosi lorong-lorong di akar jiwa
Biar sesekali dicucuk selumbar durga
Usah patah sayap menerka
Berenang ke pulau usia
Dalam lenjum, beruzlahlah hati menggumam maknawi
walau dicerca duniawi

Terima kasih sepi
Dalam sunyi
Telah kukenal diri!

-Permai Inn, Kuala Terengganu – 11-13 Oktober.

Tuesday, October 6, 2009















SILA BERKUNJUNG KE: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Agama/20091006004050/Article/index_html

ADA WAKTUNYA KITA HARUS BERDIAM DIRI
Ada waktunya
Kata-kata harus disimpan
Menjadi aset paling berharga
Kerana tanpa paksi rasuio
Ada waktunya kita sering menghunus duka

Saat kata-kata menjadi belati
Menusuk peribadi sendiri
Atau hati-hati insani.

Ada waktunya kita harus berdiam diri
Bukan menjadi manusia hipokrasi
Tetapi sekadar merenung dan bermuhasabah dengan diri
Mencari kata-kata yang sufi
Dari luahan nurani.

Thursday, October 1, 2009

PERSIDANGAN MANUSIAWI

-Tekuni cerpen saya dalam DEWAN BUDAYA edisi Oktober 2009. moga-moga kita akan lebih optimis membina peradaban dan ketamadunan pertiwi selamanya...