Monday, September 28, 2009

SESEKALI

Sesekali
marilah kita menggumam muhasabah
dalam fikiran basah
menerobos maknawi
mengukur manusiawi
di petak usia yang bersegi

Sesekali
Tika dihantar ujian dan masyaqqah begini
Apa sebenarnya yang bertingkah pada lisani
Peritnya dijepit nestapa
Syukuri terhindar wabak durjana
Atau
Marilah kita tempur bala menimpa
Dengan utuh durga
Kerana gelodak menerpa
Adalah peringatan dari-Nya
Buat kita-kita
yang selalu buat-buat lupa
Menimbun dosa
Melekit sebati
Dalam gaulan daki dunia!






Saturday, September 26, 2009

BUANA SASTERA KITA MASIH SEMPIT

AIDILFITRI Ketiga, saya begitu berbesar hati menerima kunjungan penulis tersohor, Hashim Latiff. Kami berbicara panjang tentang dimensi sastera tanah air dulu, mutakhir ini dan nun jauh di hadapan.

"Pendukung media terutama media cetak masih melihat sastera sesuatu yang tidak membawa laba walaupun cuba dikomersialkan. Padahal aspek kebahasaan dan kesusasteraan adalah antara medium paling rapat untuk dikongsikan semua khalayak" Kata beliau.

Saya menekuni pernyataan tersebut, walaupun saya tahu Hashim bukanlah calang-calang penulis yang terus bangkit dengan karya-karya segarnya.

"Agaknya tak pernah tumbuh minat dalam diri" tambah saya.

"Itulah faktor utama yang menyebabkan bidang sastera sedikit tertolak ke belakang. Peluang dan ruang tetap ada, tinggal lagi mereka tidak mahu panjangkan kepada tangan-tangan eksekutif kerana ketiadaan minat untuk mereka luahkan apa-apa cadangan."

Saya mengangguk, tanda mengiyakan.

Sdr Hashim galak bercerita tentang beberapa buah karya cerpen terkininya yang ada yang sudah siap diedit, separa siap dan yang masih lagi tercalit pada nota catatan. Apa yang beliau ingin lontarkan pada saya begitu mengesankan walaupun masih belum disiarkan mana-mana media cetak.

Sebagai penulis sepenuh masa, dia begitu beristiqamah, tekun dan rajin menyelongkar susurgalur gelagat manusiawi yang bakal diolah menjadi cereka yang begitu bermanfaat untuk direnung, difikir dan dimuhasabah kita-kita semua. Padan benar dengan pelbagai anugerah sastera yang dia terima sepanjang bergelar karyawan.

Syukur saya melangit kerana pada saat-saat idea kering dan semangat kontang, saya segera dijirus iltizam agar melempar jauh-jauh perasaan begitu. Saya mesti terus berpena sepanjang masa selagi dikurnia kudrat!

Friday, September 18, 2009

NUR SYAWAL

Qiam dalam tasbih tafakur
Nubari sebak memuncak syukur
Dalam takbir dan tahmid
Sirna mimpi kudus mulus
Mampir ke sisi-Mu!



Thursday, September 17, 2009


TELAH BERLALUKAH LAILATUL QADAR?

Sunday, September 13, 2009

RINDU

Tika sepi menyelinap ke sukma diri
Aku terus menyelongkar gubuk rahsia
Menerka dan mencari
Mulus dan kudus sebuah cinta kasih
Tatkala desir angin
Menyingkap dedaun rindu

Teman
Ingin keselami laut hatimu
Menyentuh dasar nurani
Sesekali menimang buih asmara
Dalam gelombang perkasihan

Tuhan
akan kukutip nilai
Cinta
Kasih
Dan rindu-Mu
Setiap kali jasadku berlabuh
Di pangkin rahsia maha rahsia
Dalam nur-Mu yang tersembunyi.

Kamar APD SKSIE, Sept 13 2009.

Tuesday, September 8, 2009

HARI PERTAMA USPR YANG MEMERITKAN

PERIT!. Barangkali kerana pertama kali memikul tugas berat sebagai 'Rais' dalam UPSR 2009 ini, maka sedikit kekalutan yang berlaku begitu memedihkan 'ulu hati'.

Usai mengambil soalan di BK, dengan langkah komited memandu ke SKTB. Selesai memberi arahan, masalah pertama mula menjengah apabila jadual kedatangan yang sepatutnya ditanda setengah jam apabila peperiksaan bermula tertinggal pula di rumah.

Terima kasih melangit buat CMR, Penyelia Kawasan yang begitu memahami. Sambil meminta saya bertenang dan pulang ke rumah mengambilnya.

"Jangan gelabah. Timbalan kan ada. Hati-hati memandu...!"

Keringat yang sudah basah suluruh badan perlahan-lahan kering. Saya terima hakikat bahawa saya memang terlalu teruja. Persiapan ke SKTB dirancang sebegitu rupa. Namun, apa jua perancangan dibuat, Dia jua yang menentukan segala...

Sebaik selesai kertas ketiga, saya segera menarik nafas lega. Alhamdulillah, saya mempunyai 2 orang pembantu yang begitu bertanggungjawab dan komited sepanjang tiga hari tugasan dipikul.

Berbekalkan sekotak Tamar sumbangan GB, saya bertekad untuk menyelesaikan tugas kedua dengan lebih berhati-hati.

Syukur, tugasan mengepos bungkusan jawapan dapat diusaikan dalam tempoh yang singkat. Tetapi, bungkusan kedua di PPD terpaksa dimasukkan dalam sampul kedua apabila kertas JOB tidak berpelapik kadbod. Namun, pihak pengurusan begitu memahami. Memandangkan pengalaman pertama, ianya dapat disempurnakan dengan sebaik-baiknya.

Terima kasih buat Cikgu Nasir dan Ustazah Nadhirah yang cukup sporting bersama-sama saya menyelasaikan tugasan pertama hari ini tanpa rasa gundah!

Wednesday, September 2, 2009


MARILAH KITA BERSUCI DIRI


Selain zakat badan,
bila cukup haul dan nisab, apa ditunggu.
Syumulkan tuntutan Islami
agar tenang di puncak syurgawi!

Renungi Zakat sebagai pembersih harta dan jiwa di:http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Agama/20090902015856/Article/index_html