Tuesday, July 28, 2009

SUARA DARI NYALI SUKMA

Angin basah malam ini
Melontar hanyir darah dan tulang ke segenap susuk ruang
Melampias wangi akar liat pohon pelawan
Yang tiba-tiba hilang semerbaknya

sesekali dibelenggu nestapa
terasa begitu gamang membanting akal
tersepit di satu tikungan
buntu mengimbang langkah
menuju aspal yang jauh.

Detik purnama ini, ingin sekali menyelami
Segala catatan yang lahir dari lelah batiniah
Saat titik bening sudah bertakung di pelupuk mata
Doa segera dipacak ke puncak
Menanti sapaan semilir
Deru muhasabah
membelai nyali sukma yang getir.

Monday, July 27, 2009

ADUHAI 1MALAYSIAKU…

SEORANG teman sejawat saya di sekolah pagi tadi berbicara santai tentang kes mutakhir kematian Setiausah Politik salah seorang ADUN Selangor. Teman sejawat saya ini komunikasinya memang berjalur lebar, kerana rakan-rakannya orang-orang atasan dan berjawatan di pelbagai agensi dan jabatan.

“Ada ke logik, jatuh dari tingkat 14 tapi sikit pun tak pecah kepala, tak patah kaki!” Kata teman saya itu.

Dua tiga orang rakan yang lain hanya mengangguk, mengiyakan.

“Jadi, bukan bunuh diri?” Tanya saya.

“SPRM berharap semua orang anggap dia bunuh diri, Ramai yang minta tubuh suruhanjaya sebab lebih ramai yang percaya dia dibunuh terlebih dulu…” sambungnya.

“Yek ke?” celah salah seorang lagi rakan sejawat.

Sepatutnya akan timbul lagi sedikit pro dan kontra dari sesi bual bicara yang digetuskan itu, tapi mati tiba-tiba apabila loceng masa pertama berbunyi.

Saya yang berkebetulan tiada kelas untuk masa pertama itu, berfikir-fikir sendirian. Betul juga teori rakan saya tadi. Saya kata teori sebab semuanya masih dalam siasatan. Moga-moga Polis dan pendukung Suruhanjaya akan meletakkan KEADILAN dan KETELUSAN di hadapan sepanjang siasatan dilaksana. Ini kerana dua elemen terpenting itulah yang akan menjadi akar tunjang kepada kebenaran!.

Monday, July 20, 2009

DARI BALIK CERMIN
Dari balik cermin
Kelihatan manusia menyerah
Pasrah dengan jiwa penuh taqwa
Dalam sujud yang maujud

Dari balik cermin
Aku kini memahami
Betapa kecil diri
Dibadai duniawi
Alpa dari landasan hakiki
Sesekali ingin menebus Iman
Yang tandus di hati

Di balik cermin
Keinsafan kian hijau
Setelah keringnya dosa
Reput di perdu doa
Yakin dia maha penerima nasuha
Tatkala tergetus di akar rasa

Dari balik cermin
Takkan kumundur ke belakang
Menyusun jejak
Meraih ihsan dan afdal
Pada munajat dan doa

Wan Marzuki Wan Ramli

DEWAN SASTERA, Februari 2009

Thursday, July 16, 2009

‘ALAHAI MENANTU EMAK’ ISI SLOT PANGGUNG DRAMA

PAGI tadi, sewaktu ‘berpoco-poco’ dalam sesi senamrobik di padang sekolah, sebelum berlangsungnya acara Merentas Desa 2009, saya menerima panggilan dari Pn Zuraidah Mohd Noor, salah seorang penerbit di Unit Drama Radio RTM.

“ Wan, Tahniah, skrip’Alahai Menantu Emak’ akan disiarkan dalam slot Panggung Drama Ahad ni di Klasik…” suara Zuraidah jelas menusuk ke cuping saya.

Sebetulnya skrip tersebut dah lama saya tulis, tapi setakat 6 muka surat saja, sebaik menerima perkhabaran slot Citrawara di Radio Malaysia Kelantan (RMK) kini dikenali sebagai Kelantan FM akan dimansuhkan (Drama Radio di stesen radio daerah RTM telah lama dimansuhkan tanpa ditangguh, tidak seperti nasib PPSMI).

Saya putus idea untuk menyambungnya kerana kecewa dengan dasar kementerian Penerangan pada waktu itu. Pada masa yang sama skrip lain tetap saya hasilkan. Skrip Mudik menongkah Arus, Setulus Hati Sofia, Gulai Kawah Sambal Kedondong dan beberapa skrip lain siap saya tulis. Saya beralih mengirim skrip ke Panggung Drama Klasik Nasional. Hingga kini telah 6 buah skrip saya telah disiarkan.

Hampir sebulan lepas, apabila menyemak skrip-skrip lama saya, terbelek pula skrip ini yang plotnya masih tiada berpenghujung. Idea segera bertunas, segera saya hayati kembali jalan cerita AME dan mengadap Komputer. Alhamdulillah saya sudahkan 10 helai lagi dalam tempoh dua jam.

Usai disunting, saya kirimkan kepada Sdr Zuraidah. Skrip tersebut agak klise, tetapi sesuai dengan tema kehidupan lazim kekeluargaan (anak, menantu dan mentua). Ceritanya ala-ala ‘Cerekarama’ (saya fikir menarik kalau di’tv’kan)

Saya mengharapkan penangan Fauziah Zakaria yang menangani ‘Alahai Menantu Emak’ akan sukses pembikinannya. Jauh di sudut hati, dah lama saya simpan keinginan untuk memiliki sebuah laptop peribadi. Elok rasanya saya gunakan royalti sebanyak RM1500 untuk skrip sebanyak 16 helaian ini untuk merealisasikannya!

Sunday, July 12, 2009

RENCAM SIPEROKOK
PAGI TADI, usai membeli dua bungkus nasi berlauk dan kerabu di sebuah kedai makan di depan Klinik Bandar Pasir Mas, saya terus ke kaunter bayaran. Sambil menunggu seorang pelanggan yang hendak melangsaikan bayaran selepas bersarapan, saya mengambil 4 biji gula-gula hacks.
Tiba-tiba, sang pelanggan tadi, seorang lelaki yang saya kira berusia awal 40an bersuara.
“Tak patut betul kerajaan buat perokok di Malaysia macam ni…” rungutnya.
“apa hal pulak ni?” sahut Tuan kedai yang sedia menyambut wang bayaran.
“Yelah, tergamak letak gambar jantung buruk, bayi cacat, mulut kena kanser dan macam-macam yang menakutkan pada kotak rokok…”
Tuan Kedai senyum lebar.
“Tak pa la, peringatan untuk perokok la tu..” Balas Tuan Kedai yang berkopiah putih itu.
“Kita tak mati selagi tak sampai ajal. Sekarang ni ramai yang mati bukannya sebab rokok..” lelaki tadi semacam bertanya, menjawab dan membuat rumusan tersendiri.
Saya hanya tersenyum. Tapi ingin juga mencelah.
“Bagi kotak rokok yang ada gambar bayi tu lah, gambar lain-lain tak tergamak nak tengok!”
Dalam hati, saya fakir bagus juga lelaki tadi memilih gambar bayi yang cacat pada kotak rokok tersebut. Sekurang-kurangnya jika ditakdirkan isteri beliau hamil, beliau boleh berfikir walaupun untuk seminit, tentang risiko untuk setiap bayi yang dikandung seorang isteri, di mana suaminya seorang perokok tegar.
Alhamdulillah, saya tak pernah sentuh rokok. Justeru, saya tidak perlu berfikir-fikir tentang impak negatif yang bakal diterima seseorang perokok sebagaimana digambarkan foto-foto negeri pada kotak-kotak rokok yang dijual kini.
Tahniah Kementerian Kesihatan Malaysia.
Saya berfikir-fikir sendirian apabila sampai di rumah. Walaupun kita takkan mati disebabkan rokok, tetapi sekurang-kurangnya kita masih diberi pilihan dengan minda yang dianugerahi untuk memilih antara yang jijik, meloya dengan lazat dan berkhasiat.
Ajal maut tetap menjengah, cuma sebab musabbabnya sahaja didatangkan dalam pelbagai cara oleh-Nya. Jadi, mengapa kita sengaja memperjudikan nasib diri dengan sesuatu yang menfasadkan jasad yang dikurnia Ilahi!

Saturday, July 11, 2009

"MENIKMATI" UJIANMU RABB...

Hari ini, entah Sabtu yang keberapa cuti hujung minggu saya “dicuri” lagi.
Memenuhi jemputan Sektor Pendidikan Islam (SPI) JPN Kelantan, saya berkunjung buat kali pertama ke SK Seri Aman, Pasir Puteh. Sesuah hampir tiga kali memandu sambil “makan buah langsat” (walaupun bukan musimnya kini) di Bandar Pasir Puteh, barulah pemanduan tamat di laman sekolah yang begitu elit itu.
Saya hubungi Ustz Rozaini (SK Pasir Pekan) yang terlebih menelefon sejak jam 8 kerana dia juga hampir-hampir menikmati ‘duku langsat’ di pertengahan jalan.
Tiba di Bilik Wawasan SKSA, tugasan menunggu di meja yang sudah mula penuh dengan timbunan nota, buku, majalah dan lima buah komputer riba.
Ust Hassan (SK Gual Jedok), Utsz Awang (SMK Berangan) Ustz Noor (SK SKOT (1)) dan Ustz Rozaini sedang menunggu ketibaan saya bagi menyerahkan tajuk teks buku khas yang akan diterbitkan sempena Nadwah Kepimpinan Pelajar peringkat Kebangsaan tahun ini.
Sungguh perit, perah otak untuk menyiapkan 10 teks yang diminta. Mana nak kumpul isi, mana nak petik matan hadis dan Quran lagi.
“Maaf ya ana ganggu cuti anta-anti semua!” ucap Ust Rasidi (KPP Unit Operasi Dakwah).
“Tak pa ustaz, ni pun tugas kami juga…” jawab Usz Rozaini.
Jam 2.00 petang, tugasan selesai juga, walaupun tak sempat diteak untuk pemurnian dan semakan akhir. Harapan saya dan teman-teman, staf Operasi Dakwah di SPI akan menanganinya dengan kadar segera sebelum dihantar ke Percetakan.
Ujian Tuhan lagi, sesampai di rumah,kelopak mata terasa cukup berat untuk berkelip. Urat kemerahan sudah menyirat. Sah, saya kena sakit mata, sebagaimana ditanggung anak perempuan saya sejak semalam. Tak tahu la esok dapat hadir bertugas ke sekolah atau tidak.
Sesekali, elok juga saya dapat bermuhasabah dengan ujian kecil Allah ini, moga bertambah suci pandangan selepas ini!

Tuesday, July 7, 2009

ANTARA WAKTU MAGHRIB DAN ISYA’,
DI SEBUAH MASJID


Seorang Tuan Guru
Sedang mengajar ilmu Akhlak dan Tasawuf
Tentang nilai akal dan hati, di suatu sudut berdekatan mimbar

Ada beberapa orang jemaah pula
Sedang bersembang di anjung masjid
Berbicara tentang kelemahan para pemimpin

Kata mereka,
Ramai yang tidak mampu menjadi ketua
Tidak bijak menyusun agenda, hanya tahu mengaut keuntungan untuk
diri sendiri, rendah moral dan nipis iman, korupsi dan tidak berperibadi tinggi.

Mereka asyik bercerita dan mengata tanpa mempedulikan
Tuan Guru yang masih lagi mengajar, sebelum azan Isya’ dikumandangkan
Tuan Guru sempat membacakan sebuah mafhum Hadis:
“Orang-orang yang lemah imannya adalah
mereka yang suka berburuk sangka terhadap orang lain”