Wednesday, May 27, 2009

FRAGMEN BUAT CIKGU
(buat semua mantan murabbiku di Maahad Ahmadi Tanah Merah 1984-1991)
*nostalgia tautan budi 23 Mei 2009

Salam ingatan buat Cikgu
Yang pernah bersusah dengan kerenahku
Menyebut abjad dan angka yang sering kukeliru
Suatu ketika dahulu, masa kecilku

Salam ingatan buat Cikgu
Yang pernah berkemelut dengan gelagatku
Menitip ilmu membimbing tingkah laku
Suatu ketika dahulu, masa remajaku

Salam ingatan buat Cikgu
Dari ombak cekal dan deru semangatmu
Mendebur inspirasi di pantai kalbuku
Lalu kusimpan cita setinggi langit membiru
Ingin menjadi seorang guru
setabah dirimu!.

Friday, May 22, 2009

KEBERANGKATAN
(Belasungkawa almarhum ADUN Manek Urai)

Bulan kian pucat
rumput runduk lesu
tatkala keranda diusung
seru sayu cicip nuri
melagu pilu
sambil meneduh jasad kaku

Tuan yang berjasa
selamat berangkat ke sisi-Nya!

Saturday, May 16, 2009

TERHARU SMS DARI MANTAN MURIDKU

Jam 8.20 pagi, telefon berirama mengutus sms beraksara penuh makna menyeri sambutan Hari Guru.
"Jadilah seorang guru yang hadirnya di TUNGGU, hilangnya diRINDU, ilmunya diBURU, nasihatnya diSERU, dan tingkah lakunya diTIRU...."
* Moga-moga itulah diriku. Terima kasih Faizal Helmi, anak didikku sejak di Tahun 4 1999 di SKM yang masih mengingati meski kini sudah menjejaki menara yang tinggi....

Tuesday, May 12, 2009

'Akademi MINI' Nasyid SK SIE'

Hari ini hari pertama aku menjadi satu-satunya juri dan pengkritik tetap untuk memilih pelapis Kumpulan Nasyid sekolah 'TILMIZ'. Memandangkan semua anggota lama sudah di Tahun 6 dan bakal meninggalkan SIE 2010 nanti, maka penyertaan dari anak-anak didik di Tahun 3 dan 4 terpaksa dibuat awal bagi membentuk sebuah kumpulan nasyid yang mantap.

Memilih 'suara anak kecil' yang belum baligh cukup memeritkan. Sambutan cukup memberangsangkan. Beratur panjang murid Tahun 3 dan 4 untuk diuji suara dan ketrampilan mereka. Ada yang bernasyid dengan suara 'terkepit', ada juga yang 'over' dengan suara ala-ala akademi fantasia.

Aku cuma memerlukan 9 orang ahli yang berbakat, berdisiplin, tak banyak kerenah, komitmen dan mampu dengar leteran bila dikritik nanti!

Thursday, May 7, 2009

MENGGULUT NISTA
(Buat sang politikus & hipokrasi)

Menyusur lurah curam
di kaki duri menusuk ke jantung hayat
racun menitis di kelopak dusta
gelodak berpusar di dasar kepuraan
hanyir menyirat ke nubari

santaplah semangkuk naluri hitam
dari kenduri nista
di persada kalbu songsang
terhimpun di usus durja dan sirna
menjadi hampas yang paling hina!


Tuesday, May 5, 2009

SOUTU RAUDHAH SMK(A) LATI UTUH DAN BERTAHAN!

Seusai tamat masa pertama di Tahun 6B, memandu ke SMK Baroh Pial, mengejar jam 10.30. Temujanji mengemudi Festival Nasyid Karnival PPDa PPD Pasir Mas 2009.


Dari 8 buah sekolah yang bersetuju menyertai festival kali ini, hanya 5 buah yang hadir. Barangkali kerana kesuntukkan untuk latihan, tiada saingan sengit dari 5 kumpulan nasyid yang mengambil bahagian. Persembahan dari SMK Teknik dan SMK SIS agak berpotensi.


Namun, sebagaimana dijangka Soutu Raudhah dari SMK(A) Lati tetap utuh dan bertahan apabila muncul juara, walaupun mempertaruhkan anggota pelapis yang belum banyak pendedahan.


Tahniah untuk Mr. Nasir yang mapan dan berkaliber dan Cikgu Hamdah yang begitu kuat membina sokongan dan dokongan untuk Soutu Raudhah.


Saturday, May 2, 2009

SABTU, 2 MEI 2009



TERKESIMA BILA NAMA DISEBUT PENOLONG PENGARAH JPP DALAM TAKLIMAT KAFA DI SKM SIS....



Usai Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) di sekolah tengahari tadi, sebaik selesai bersolat Zuhur, bermotor pula ke SMK Sultan Ibrahim (1) bagi memenuhi tuntutan tugas sebagai Penyelaras KAFA untuk menghadiri majlis Penyampaian Watikah Guru KAFA Parlimen Pasir Mas.

Pengerusi menjemput wakil JPP untuk menyampaikan sepatah 2 ucapan. Dalam mukadimah, Drs Mohd Syah Baweh (Penolong Pengarah Pembangunan Masyarakat) JPP Kelantan (lihat foto) menyebut namaku, memperkenalkan aku sebagai bekas anak muridnya yang masih diingati sampai kini dalam Dewan Suria petang tadi..

Tidak kusangka, setelah hampir 18 tahun meninggalkan Maahad Ahmadi Tanah Merah, Ustaz yang pernah mengajar Pengajian Am dan Sastera sewaktu di Tingkatan Lima dan Enam Syariah masih mengingati diri ini. Bukan kerana nama, tetapi mungkin kerana aku adalah bekas pemidato sekolah dan YIK dalam Bahas tahun 1991, tetapi aku juga adalah Ketua Pelajar MA bagi sesi 1990-1992. Syukran ya Ustaz........