Friday, November 21, 2008

TEKA TEKI IMAM GHAZALI

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya Teka Teki ) :
Imam Ghazali = " Apakah yang paling dekat dengan diri kita didunia ini ?">Murid 1 = " Orang tua ">Murid 2 = " Guru ">Murid 3 = " Teman ">Murid 4 = " Kaum kerabat "
Imam Ghazali = " Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati ( Surah Ali-Imran :185).Imam Ghazali = " Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?">Murid 1 = " Negeri Cina ">Murid 2 = " Bulan ">Murid 3 = " Matahari ">Murid 4 = " Bintang-bintang "Iman Ghazali = " Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama".Iman Ghazali = " Apa yang paling besar didunia ini ?">Murid 1 = " Gunung ">Murid 2 = " Matahari ">Murid 3 = " Bumi "Imam Ghazali = " Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al A'raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka."
Imam Ghazali = " Apa yang paling berat didunia ">Murid 1 = " Baja ">Murid 2 = " Besi ">Murid 3 = " Gajah "Imam Ghazali = " Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allad SWT meminta mereka menjadi khalifah(pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah."Imam Ghazali = " Apa yang paling ringan di dunia ini ?">Murid 1 = " Kapas">Murid 2 = " Angin ">Murid 3 = " Debu ">Murid 4 = " Daun-daun"Imam Ghazali = " Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat "
Imam Ghazali = " Apa yang paling tajam sekali didunia ini ">Murid- Murid dengan serentak menjawab = " Pedang "Imam Ghazali = " Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasan saudaranya sendiri "

Monday, November 17, 2008

DUA RANGKAP PANTUN
BERTEMA BUDI BAHASA DAN NILAI-NILAI MURNI


Bertiup bayu di negeri Johor,
Sampan hanyut ke hujung desa,
Warga kita sudah tersohor,
Kaya dengan budi bahasa.


Pergi ke jeram jalan bertuntun
Agar tidak terbuang masa,
Tutur dan tingkah bersopan santun,
Mata memandang sejuk terasa.

WAN MARZUKI WAN RAMLI
Pasir Mas, Kelantan.



MEMENANGI TEMPAT KE-2
Peraduan Menulis Pantun Budi Bahasa anjuran Kementerian Kesenian dan Warisan & KLASIK Nasional. Oktober 2008.
PAGAR PADI
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

“SUDAH-sudahlah tu Mah, kita bukannya tak biasa berkenduri besar pun. Masa si Aliya dan Azim kahwin dulu pun, bukan kecil perbelanjaan kita!” Ujar Sufian membantah. Dia tahu benar sikap isterinya itu. Rancangan awal memang bersederhana, tapi bila hampir menjelang harinya, segala bajet mula lari dari anggaran yang dibuat.
“Alah abang ni, kedekut sangat. Fiza tu anak bongsu kita bang. Abang keluar separuh saya keluar separuh!” pujuk Simah.
“Pandailah awak tu. Fiza sendiri?”
“Eh abang ni, Fiza tu kan perempuan bang. Kitalah yang bertanggungjawab untuk masa depan dia tu.” Balas Simah cepat-cepat.
“Itu saya tahu. Kan dia dah kerja.”
“Kerja apa sangatlah bang, Operator kilang aje. Lagi pun masa nilah kita nak perkenalkan keluarga kita bang. Biar Pak Saad dan Kak Bedah kat kampung tu tahu, kita ni berbeza status dengan dia orang!”
“Awak ni Simah, tak habis-habis, nak berada saf depan aje!” Ngomel Sufian sambil menjeling sinis ke arah isterinya itu.
Fikiran Simah menerawang jauh. Senyum bersimpul di bibir. Dia dapat bayangkan betapa meriahnya perkahwinan anak bongsunya tu nanti. Maklumlah ini mungkin kenduri kahwin terakhir dalam hidup dia dan suaminya. Sebab itulah dia beriya-iya benar mahu sediakan yang terbaik. Biarlah dia sekeluarga berhabisan sikit kali ini.
Dua bulan akan datang, syarikat kosmetik tempat dia bekerja akan memberikan durian runtuh kepada seluruh kakitangan. Dia sudah berkira-kira lantaran bonus yang bakal diterimanya agak ‘lebat’ juga, sesuai benar dengan jawatan eksekutif yang disandangnya sejak lapan tahun lalu. Campur dengan bajet suaminya nanti, kira memadai untuk belanja keseluruhan!.
Namun, sesekali dia rasa sedih juga. Terkilan pun ada. Bila dah habis belanja besar. Anak menantu hilang dari mata. Aliya anak sulungnya, dah menetap di Brunei mengikut suami. Azim dan isterinya pula walaupun menetap di Kuantan, bukannya selalu balik. Sibuk dengan firma guaman yang mula berkembang. Cuma Fiza yang agak kerap dapat bersamanya, anak bongsunya tu sejak umur lima belas tahun tinggal di kampung bersama datuknya, Pak Mahat.
Simah bukannya malas untuk menjaga Fiza, tapi sewaktu Fiza berada di Tingkatan Empat, macam-macam kes jenayah yang berlaku di sana-sini. Murid-murid sekolah terutama murid perempuan banyak yang jadi mangsa kes rogol, cabul, culik dan ugut serta tak kurang pembunuhan.
Simah terlalu bimbangkan Fiza. Dia berpakat dengan Sufian untuk menghantar Fiza tinggal bersama datuknya di kampung. Simah dan Sufian merasa lebih selamat jika Fiza sambung persekolahan di kampung. Dua minggu sekali mereka balik ke kampung mengambil Fiza. Tapi sewaktu Fiza di Tingkatan Lima, mereka hanya sempat balik hanya sebulan sekali memandangkan kesibukan kerja yang membatasi peluang dia dan suaminya untuk bercuti. Ada waktunya Fiza akan balik sendirian menggunakan bas atau teksi.
“Abang, saya bercadang nak raikan ayah dalam satu majlis khas. Saya nak berikan sesuatu sebagai tanda terima kasih kita pada dia kerana jaga Fiza selama beberapa tahun ni, macam mana, abang setuju tak?”
“Suka hati awaklah Mah, dia kan ayah awak.” Balas Sufian.
“Abang ni macam tak suka aje. Ayah tu dah banyak berkorban untuk kita.” Tingkah Simah.
“Bila pula abang kata tak suka. Eloklah kalau awak dah rancang macam tu...”
Tinggal beberapa bulan saja lagi Fiza bakal dijodohkan dengan Faris, anak Pak Sad dan Kak Bedah yang sudah dua tahun mengggotai pasukan tentera darat. Simah hanya menghitung hari. Sufian pula macam lazimnya, tidak difikirkan sangat hal tersebut kerana masalah syarikat binaannya adalah yang teratas.
“Kamu ni Fiza, mama tengok macam tak ceria aje, apa hal ni?” Tanya Simah.
“Eh mak ni, takkanlah Fiza nak tersengih-sengih dan melompat-lompat pulak!”
“Bukanlah macam tu, tapi kamu ni tak macam orang lain. Kamu kan dan kenal dengan si Faris tu...”
“Kenal tu kenal mak, tapi sebelum ini Fiza memang tak pernah jumpa dan bercakap pun dengan dia!”
“Alah, kamu terima ajelah Faris tu. Lagipun maknya tu masih ada hubungan saudara dengan keluarga belah mama kat kampung. Dia yang beriya-iaya benar tanyakan Fiza dari atuk.” Ujar Simah sambil mengelus-ngelus rambut Fiza yang ikal.
“Fiza tak kisah mama. Fiza pun memang dah lama nak berhenti kerja, Fiza nak berdikari, nak tinggal sendiri. Kalau dah sampai masa untuk berkeluarga, Fiza tak kisah!” Ujar Fiza, matanya merenung dalam anak mata Simah.
“Nanti, mama nak Fiza berikan hadiah istimewa untuk atuk yang selama ini menjaga Fiza kat kampung!”
Fiza mengukir senyum hambar. Seketika kemudian dan menghampiri Simah lalu memeluk tubuh mamanya itu.
Petang Sabtu minggu ketiga. Simah dan Sufian berjalan keluar dari kedai emas. Menempah tiga jenis barang kemas untuk perhiasan badan anak perempuan bongsu mereka pada hari perkahwinannya nanti. Simah hanya senyum memanjang. Sufian bagaikan pengawal peribadi, mengikut aje ke mana Simah hendak pergi.
“Abang ni bimbang juga Mah...”
“Bimbang pasal apa pulak bang?” Simah menduga.
“Dalam masa terdekat ni dah berapa kali dia orang berjumpa. Yelah nak kenal hati budi masing-masing.”
“Anak kita budak baik bang. Saya yakin si Faris tu takkan ada masalah nanti!”
Sufian terus diam. Dia harap kenyataan isterinya itu adalah yang terbaik untuk Fiza dan keluarga yang bakal dibina.
Untuk terima bakal menantu kali ini, Simah agak tenang dan tidak banyak soal selidik. Tidak seperti kepada dua menantunya yang lepas. Mungkin juga sebab Fiza tak ada kelulusan tinggi dan hanya pekerja kilang.Sekali ayahnya mencadangkan si Faris anak Encik Saad dan Kak Bedah, langsung saja dia menerimanya.
Tinggal tiga minggu lagi Fiza bakal bergelar raja sehari. Pagi itu Fiza meminta izin untuk balik ke kampung. Dia membawa surat perletakkan jawatan untuk diserahkan kepada pengurus kilang di pekan.
“Nanti petang beritahu atuk, Fiza nak balik ke sini. Esok mama dan bawa Fiza ke bandar. Kita kena belikan apa-apa barang yang masih tak ada.
Fiza hanya memandang tepat ke arah Simah tanpa suara, tetapi mengangguk perlahan-lahan kemudiannya.
Terdetik juga dalam hati Simah. Apa kena pula dengan anaknya itu? Perangai tiba-tiba saja berubah. Mukanya kusam dan pucat. Tak ada seri langsung seorang bakal pengatin.
Ah!, perkara biasalah tu, pujuk hati Simah. Barang kali demam dara nak naik pelamin. Dah sampai harinya nanti pastinya badan yang lemah kembali kebah!.
Kalau Fiza tidak mahu menerima Faris, takkanlah dia diam saja masa dilamar tempohari?. Orang yang diam, tandanya setuju. Simah pun faham, jiwa anak bongsunya tu. Dia memang mudah lemah semangat. Tambah-tambah soal berat macam ni. Barangkali dia bimbang takut tidak mampu menjadi isteri yang baik untuk bakal suaminya nanti, fikir Simah lagi.
Petang itu senyum Simah melebar sewaktu membelek-belek tiga kotak kad jemputan yang tiba di rumahnya. Kad itu ditempah khas dalam versi istimewa tiga warna. Dengan keharuman mawar bersama alunan muzik.
Semua saudara mara terdekat sudah dihubunginya. Kad sudah separuh diserahkan. Teman-teman yang jauh dan tak sempat diziarah dihubingi dengan kemudahan teknologi. Telefon, faksimili dan emel.
Simah mengambil cuti dua minggu lebih awal bagi melangsaikan apa yang patut. Dia tidak suka meminta bantuan orang lain. Bimbang tidak dapat memuaskan hatinya.
Encik Saad dan Kak Bedah pati terbeliak biji mata melihat persediaan yang dibuatnya. Dia tak kisah majlis yang bakal dibuat pihak lelaki. Yang penting di pihaknya dia tidak takkan jatuh saham.
Enam hari sebelum tiba hari yang ditunggu, dia menerima panggilan telefon dari Kak Bedah. Bagai dipanah petir jantan, tiba-tiba nafas menjadi sesak. Sufian cuba menenangkan isterinya yang mula tersesak-esak.
“Bawa bersabar Mah...”
“Nak bersabar apa bang. segala persiapan dan saya buat. Senang-senang pula mereka nak putuskan...”
“Kan mereka dah jelaskan!”
“Saya tak puas hati bang...”
Petang itu Simah dengan dada kosong dan perasaan yang murung bertolak ke kampung. Hati Simah berkecamuk. Gelodak dalam dadanya kian membengkak. Hatinya sedang membusung dengan rasa marah, kecewa, hampa, sedih dan hiba.
Sampai tiba di rumah Tok Mahat, ada dua tiga orang kampung sedang mundar-mandir di beranda. Salah seorang dari mereka menghampiri Sufian lalu membisikkan sesuatu.
“Betul ke ni?” Tanya Sufian, terkejut. Mereka hanya mengangguk.
Simah faham benar panas baran ayahnya itu.
“Aku akan bunuh budak bedebah tu kalau dia tak jadi juga kahwini Fiza!” Mata Tok Mahat merah menyala. Mukanya seperti udang kena bakar.
“Banyak-banyak sabar ayah. Saya faham perasaan ayah tu. Kami berdua ni lagi malu ayah. Kami ni ayah dan mak dia!”
“Aku tak mahu Fiza jadi sepah yang kena buang!”
Simah dan Sufian saling berpandangan.
“Ayah tentu malu sangat tu bang, dia yang beriya-iya benar dan jodohkan Fiza dengan Faris tu hah!”
“Malu sekalipun, kita kena berbincang, tak boleh ambil tindakan melulu. Ni sampai nak berparang pulak!”
Simah diam. Hatinya kian diamuk resah. Sudahlah dalam keadaan menjadi haru-biru, Fiza anak perempuannya pula keluar dari rumah Tok Mahat selama dua hari dan tidak balik-balik.
“Akak minta maaf banyak-banyak Simah, Sufian. Akak tak dapat buat apa-apa. Ini keputusan abang Saad dan Faris sendiri. Maknanya ianya dah jadi keputusan kami sekeluarga....”
“Tapi.... tapi kenapa Kak Bedah. Malu saya macam ni. Anak-anak kita macam mana? Kalau mereka dan terlanjur sekalipun, kita kena tanggung semuanya.”
“Susah akak nak cakap Simah. Faris tak macam tu.Serba-salah akak ni. Akak kesal Simah. Akak kesal sungguh!”
Simah dan Sufian makin keliru. Apa sebenarnya yang terjadi?
Perbualan mereka terhenti bila telefon bimbit Sufian berdering.
“Sapa bang?”
“Fiza”
“Hello, Fiza. Ini papa sayang.....” Tiba-tiba Sufian terhenti bicara. Dia seperti mengamati suara Fiza.
“Kenapa bang, kenapa dengan Fiza bang?” Kali ini pertanyaan Simah mula diiringi esakkan. Dia menggoncang-goncang lengan Sufian.
Sewaktu dalam balik dari rumah Kak Bedah menuju rumah Tok Mahat, Simah dan Sufian berselisih dengan sebuah peronda polis yang keluar dari jalan anak ke rumah Tok Mahat. Simah dan Sufian saling berpandangan.
Sesampai di laman, Fiza yang berada di tepi sebuah kereta meluru mendapatkan Simah dan Sufian. Tangisannya kedengaran di mana-mana. Ada sekumpulan orang kampung berada di situ.
“Maafkan Fiza ayah, mama. Fiza dah tahan. Fiza....Fiza....” Sedu-sedan Fiza makin kuat, air jernih kian laju menuruni pipinya.
“Kenapa ni nak, kenapa jadi macam ni Fiza?” Raung Simah sambil memeluk anak perempuan bongsunya itu. Tangisan demi tangisan silih berganti.
Keesokkan harinya, Sufian beberapa kali menatap akhbar Harian Nasional. Matanya tancap kepada tajuk utama di laman depan.
‘Datuk berlagak alim, ratah daging cucu sendiri.’
Dia melemparkan pandangan jauh ke laman rumahnya. Sufian hanya mampu mengeluh dan beristighfar panjang.
FOTO KENANGAN RAYA WARGA SK SIE....

Yang besar-besar SEGALA ANGGOTA BADAN kat depan tu adalah orang-orang BESAR di SK SIE. PKP (Hj MOhd Sayuti) berbaju biru. Cikgu Noor Agong (GB) baju coklat, Baju putih Encik Mohd Razman (PK HEM) dan berbaju pink gelap tu PK KO baru, Encik Ramli Zakaria.

Lain-lain tu cikgu-cikgu yang tak glamour. Harap pakai aje lawa. Cikgu sekolah lain tak kenal pun termasuklah diri ini ( di tepi kanan sekali)!!!

Tapi, Cikgu-cikgu sekolah lain kena tahu, kami adalah team pendidik yang amat rapat, mesra alam dan memang mufakat dalam apa jua hal di sekolah!!!. Susah nak cari di sekolah lain. Pendek kata, menangis bersama, ketawa bersama. cuma masuk tandas aje masa lain-lain!!!!




MENGGULUT NISTA

Sang singa itu terus menyiat-nyiat mangsanya
Yang dibaham di ladang gunjing
Menggusur dan memamah
Kebinatangan yang hancing
Pada jebat helah yang telah mengena

Di takhta permatang
Seekor raja rimba pula leka menjilam kepuasan
Saat hanyir nista
Telah dijujut mangsa akrabnya

Siapa lagi yang sanggup digasak
Membuntung diri di lembah membusa
Menjadi galang
Menggajai manusiawi
Yang kian kontang maknawi.


WAN MARZUKI WAN RAMLI
SK SIE, Pasir Mas, Kelantan.
POLITIK WANG ANCAM KESTABILAN BANGSA DAN NEGARA

POLITIK wang menjadi penyakit yang bukan saja mengancam masa depan sesebuah parti politik, malah turut mengancam bangsa dan negara. Kemelut yang mengusasi diri seseorang individu yang yang terlibat dalam korupsi wang ini akan kuasa menjadikan 'matlamat menghalalkan segala cara.'
Dalam tempoh kempen pemilihan Umno yang agak panjang, banyak pihak dalam parti itu yang bimbang dengan kewujudan ejen pelobi atau orang tengah bagi menghadapi pemilihan Mac depan. Situasi inilah yang sebenarnya membantu menyemarakkan lagi gejala politik wang yang kian berleluasa dalam parti itu.


Jika ianya tidak dibendung dan dibanteras, sudah pasti akan wujud senario tidak sihat dalam parti dan lambat laun umno sendiri bakal musnah akibat tindak-tanduk ahli partinya sendiri.
Majlis Tertinggi (MT) umno telah mengeluarkan arahan agar pasukan pemanatau yang ditubuh dapat mengawasi ejen atau pun orang tengah ini bagi memastikan tidak berlaku gejala rasuah sepanjang kempen pemilihan ini.

'Politik wang' adalah amalan menabur wang yang dilakukan seseorang calon yang bertanding sama ada dalam pemilihan parti atau sesuatu pilihan raya bagi meraih sokongan dan undi untuk jawatan yang ditandinginya.

Sebenarnya 'rasuah politik' ini bukan saja menjadikan wang sebagai unsur meraih kemenangan, malah ia mungkin diberi dalam bentuk lain seperti janji mendapatkan kontrak, tender atau habuan memegang jawatan tertentu.

Namun, penggunaan wang adalah kaedah paling popular sementara habuan berbentuk jawatan adalah terhad kepada penyokong yang berpengaruh saja yang biasanya adalah 'broker' utama bagi seseorang calon perasuah mendapatkan sokongan akar umbi.

Sirah negara bangsa memperlihatkan, rasuah, korupsi, nepotisme dan kronisme antara perbuatan jijik yang boleh meruntuhkan tamadun. Rasuah wang, kuasa, dan politik wangnya dari sudut asal usul, punca berlaku, kesannya telah pun dihuraikan secara jelas oleh Allahyarham cendekiawan prolifik Profesor Dr. Syed Hussein Alatas dalam bukunya The Sociology of Corruption. Nukilan yang sama berhubung jelik dan jijiknya rasuah sehingga Pakistan sebuah negara Islam hampir tumbang turut dicoret oleh Tibor Mendez.
Ramai yang tahu keburukannya tetapi mereka tidak menghiraukannya. Hati dan fikiran mereka ditutup daripada kebenaran mengenai kesan buruk politik wang. Apa yang penting ialah keuntungan besar menjadi hasrat mereka yang bernafsu besar ini.


Justeru, tidak hairanlah dunia politik kita hari ini semakin dipenuhi penipuan dan pelbagai skandal yang mengaibkan. Mereka seolah-olah lupa firman Allah SWT yang bermaksud: 'Wahai sekalian manusia! Makanlah sebahagian daripada makanan yang ada di bumi ini, yang halal dan baik, dan janganlah kamu menuruti jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata." (Surah Al-Baqarah:168).

Hari ini ramai ahli politik dan pendukung parti yang sanggup menjadi hipokrit kerana budaya politik wang. Penulis sendiri sering mendengar kata-kata daripada akar umbi bahawa 'kekuasaan ditentukan wang dan tipu daya politik', 'untuk apa memegang jawatan kalau tidak memberikan apa-apa pulangan', dan 'siapa yang berduit dialah yang berkuasa'.
Kita bimbang jika penyakit politik wang ini tidak dibendung, maka tujuan sebenar kuasa itu sudah tidak tercapai. Penaburan wang untuk membeli kuasa dan kemenangan ditentukan jumlah wang yang ditaburkan hanya akan melahirkan ahli politik yang menipu diri sendiri dan menipu rakyat.


Politik wang menyebabkan pemilihan pemimpin bukan lagi dibuat atas siapa yang sanggup memperjuangkan kehendak rakyat dan kepentingan negara, sebaliknya siapa yang banyak menabur wang dan menjanjikan habuan kepada pengikutnya jika menang.
Hakikat politik wang ialah kita sebenarnya mengajar pengikut menjadi tidak bertanggungjawab dan kita mendidik mereka untuk menipu. Kuasa bukan lagi untuk kepentingan masa depan, sebaliknya kuasa menjadi jambatan kekayaan. Kesannya, politik kita semakin jauh daripada perjuangan politik kebangsaan.


Politik kekuasaan hanya akan melahirkan golongan ahli politik kaya raya yang menggunakan kuasa dan kekayaan untuk 'menjajah' pemikiran rakyat. Apabila politik wang sudah membarah serta tidak dapat diubati lagi, maka ia membantutkan penyertaan politik yang bermoral dan beretika.

Jangan marahkan rakyat, khususnya bangsa Melayu sekiranya mereka terus meminta minta dan mengharapkan tongkat kerana puncanya adalah didikan ahli politik yang gilakan kuasa menabur wang untuk menang dalam persaingan kuasa. Rakyat yang dididik dengan suapan politik wang akan memiliki pemikiran politik yang tertutup dan kesannya akan lahir masyarakat yang tidak lagi mampu menggunakan hak politik mereka untuk mengangkat ahli-ahli politik yang dapat membina pemerintahan yang sihat.

Aliran politik wang menjadikan ahli politik yang tidak berduit seolah-olah tidak layak untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. Kerana gagal menabur wang, ahli-ahli politik yang beretika dan bermaruah sudah tidak mempunyai tempat dalam dunia politik.
Ironinya, rasuah, politik wang bercanggah sama ada dari sudut hukum duniawi mahupun ukhrawi untuk mengorak langkah membina semula penyertaan politik di kalangan ahlinya secara sihat, berakhlak dan beretika.

dari minda : WAN MARZUKI WAN RAMLI
Pasir Mas, Kelantan

EEEIII!!!! ULAR
Nampak relek je, sebenarnya geli geleman tu!. Ni tarikan baru di Zoo Melaka. Ambil gambar sambil pegang ular. Terus print dan dapat gambarnya sekali tak sampai 5 minit. Hanya bayar RM10. Azeem bukan main meraung dia tengok kepala ular tu!. Abah dia pun dan dup dap dup dap, memang geli dan gerun. Rasanya sekali tu ajelah bergambar dengan ular dalam hidup ni...
NAIK KERETAPI DI LOST WORLD OF TAMBUN

Penat tapi seronok dengan keluarga round keliling tema air Tambun. Anak-anaklah insan yang paling gembira. 5 jam main air sampai mata putih dah bertukar merah, masih tak mahu naik-naik juga. Bila perut dah berkeriut, barulah naik sekejap.
kakak serius tengok kamera. Ameer dah hanyut menyandar. Si keletah Azeem pula tengok aje abah dia. Lepas kena marah tu!. Ada ke kencing atas riba. Baru buka pampers. Dah amsuk 3 kali terkencing dia tu. Asyik berendam dalam air agaknya!!!!






FOTO RAYA NI!
Ni masa Aidilfitri lepas. Famili saya. Sebelah kiri tu isteri saya, anak kedua Wan Muhammad Ameer Danish (5 th) sedang menghafaz surah Yasin di Tadika Tahfiz Gemilang, Lati.
Atas riba saya tu anak bongsu (?) Wan Muhamad Azeem Irham (1 th). Yang paling kanan anak sulung saya, Wan Nur Athirah (7) belajar di Tahun 2, SK SID, Pasir Mas.
Tahun ni warna rasmi keluarga adalah kuning diraja. Nak jadi raja memang sah tak boleh. Ala-ala istana pun kira okeylah.

Wednesday, November 12, 2008

Biodata diri







KENALI DAKU


WAN MARZUKI WAN RAMLI, berasal dari Tanah Merah, Kelantan. Menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1989. Selain karya kreatif, turut menulis skrip drama radio untuk siaran RTM dan artikel ilmiah di dalam Berita Harian, Majalah JAKIM dan penerbitan lain.
Karya berbentuk cerpen dan puisi disiarkan akhbar tempatan dan majalah DBP dan turut termuat dalam beberapa buah antologi terbitan DBP, Utusan Publication dan beberapa antologi puisi terbitan Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA) antaranya ialah antologi Kulepaskan Resah Sepi, Salji Masih Berguguran, Permata Nilam Biru, Sesudah Hujan Dahlia, Bulan Barakah dan Bunga-bunga putih.
Pernah Memenangi Hadiah Sastera Dewan Siswa 1989 dan Hadiah Sastera Utusan pada tahun 1999 melalui cerpen Lambaian Bhosphorus.
Kini bertugas sebagai Guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim (4), Pasir Mas, Kelantan.